Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tahniah Harimau Malaya, Malam Bersejarah Bola Sepak Negara – Faizal

malaysia layak ke piala asia 2023
Gambar: FAM/Bernama

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengucapkan tahniah kepada Harimau Malaya atas kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh sebentar tadi.

Menerusi satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, Faizal berkata bahawa kemenangan tersebut menjadikan malam ini penuh bersejarah.

“Alhamdulillah! Syabas skuad Harimau Malaya yang berjaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 setelah menewaskan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023.

“Malam bersejarah bola sepak negara, skuad Harimau Malaya berjaya layak secara merit selaku lima naib juara terbaik daripada enam kumpulan yang bersaing dalam aksi kelayakan.

“Kejayaan ini cukup bermakna buat seluruh Keluarga Malaysia. Teruskan fokus dan usaha untuk mencipta lebih banyak lagi kejayaan,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Dalam pada itu, Faizal turut mengucapkan terima kasih kepada ribuan penyokong khususnya Ultras Malaya atas sokongan padu yang diberikan pada malam ini.

“Terima Kasih pemain ke-12! Kehadiran para penyokong memberikan sokongan padu kepada Skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam ini cukup jelas memberi impak dalam menyuntik semangat kepada pemain-pemain negara.

“Sorakan tanpa henti Ultras Malaya memeriahkan suasana di stadium dan telah berjaya meniup semangat para pemain untuk beraksi dengan cemerlang! Teruskan sokongan padu anda!” tambahnya.

Pada perlawanan sebentar tadi, Malaysia berjaya membenam Bangladesh 4-1 hasil aksi cemerlang yang dipersembahkan oleh pemain negara.

Kemenangan tersebut berjaya menamatkan penantian 43 tahun, sekali gus melayakkan Malaysia untuk pergi lebih jauh di pentas Piala Asia yang bakal berlangsung pada tahun hadapan.

Sumber: FB Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu