Ketika ini, pelbagai maklumat boleh diperoleh hanya dengan beberapa sentuhan pada telefon pintar. Namun, berbeza dengan zaman dahulu apabila bahan bacaan perlu dicari dan dikumpulkan sendiri, termasuk melalui keratan akhbar.
Itulah yang mencuri perhatian pengguna media sosial apabila sebuah ensiklopedia buatan tangan yang dihasilkan daripada keratan akhbar kira-kira 30 tahun lalu dikongsikan menerusi platform Threads.

Menerusi perkongsian pengguna Threads, @ftrhmuzan, ensiklopedia tersebut memaparkan pelbagai maklumat dan fakta menarik yang digunting daripada akhbar sebelum disusun serta ditampal dengan kemas pada helaian buku nota.
Menurutnya, usaha mengumpulkan bahan bacaan seperti itu dilakukan ketika kemudahan mendapatkan maklumat secara dalam talian seperti Google masih belum tersedia.
Lebih menarik, koleksi berkenaan masih disimpan sehingga kini meskipun helaian kertasnya sudah bertukar kekuningan dimamah usia.
Antara maklumat yang dimuatkan termasuk penerangan mengenai kejadian kilat dan guruh, fakta luar biasa serta informasi berkaitan kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya Persekutuan.

Bagaimanapun, pemilik akaun tersebut menjelaskan bahawa ensiklopedia berkenaan bukan hasil kerja bapanya, sebaliknya ditemui ketika berkunjung ke rumah individu lain.
“Bukan bapa saya sebenarnya. Kami cuma jumpa di rumah orang lain. Saya memang sangat kagum!” tulisnya menerusi ruangan komen.
Perkongsian itu ternyata menarik perhatian ramai apabila meraih lebih 57,000 tanda suka serta ratusan komen daripada pengguna media sosial.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut berkongsi pengalaman masing-masing mengumpulkan keratan akhbar dan menyimpannya sebagai bahan rujukan ketika zaman kanak-kanak.
“Hebat. Zaman saya pula, mereka kumpul keratan lirik lagu dan tampal,” kongsi seorang pengguna.

Seorang lagi pengguna berkata, ibunya juga pernah mengumpulkan pelbagai bahan seperti resipi dan fakta daripada surat khabar sebelum menggunting serta menampalnya ke dalam buku.
“Mak kita pun buat juga. Resipi, fakta dan macam-macam daripada surat khabar dahulu semuanya digunting dan ditampal dalam buku. Seronok betul masa itu, asyik membaca sahaja,” jelasnya.
Sementara itu, seorang pengguna mengakui usaha generasi terdahulu dalam mendapatkan ilmu sememangnya mengagumkan.
Dia turut mengimbas pesanan seorang guru Matematik ketika di tingkatan empat yang mengingatkan pelajar bahawa generasi terdahulu mampu membuat pengiraan tanpa bantuan kalkulator.
Seorang lagi pengguna pula berkongsi bahawa dia pernah melakukan perkara sama sejak kecil sehingga melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM), malah menyimpan koleksi tersebut selama bertahun-tahun sebelum sebahagian besarnya dibuang sekitar tahun 2020.
Tidak kurang juga yang mengimbas cara ibu bapa mereka mendidik anak-anak supaya mengikuti perkembangan semasa, termasuk menonton berita dan membaca akhbar.
Seorang pengguna berkata, bapanya pernah meminta mereka menonton berita di televisyen sebelum menceritakan semula perkara menarik yang disiarkan, termasuk nama menteri dan isu semasa.
Malah, mereka turut dibawa ke perpustakaan pada hujung minggu, satu amalan yang menurutnya masih kekal sehingga dewasa.
Perkongsian ini bukan sahaja mengimbau kenangan zaman sebelum kemudahan internet, malah memperlihatkan usaha dan kreativiti generasi terdahulu dalam mengumpulkan ilmu pengetahuan menggunakan bahan yang ada.

