Bukan sekadar menguruskan pentadbiran negeri, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut memperlihatkan kemahirannya mengendalikan jentera berat menerusi satu video yang dikongsikan di media sosial.
Menerusi rakaman tersebut, Sanusi dilihat mengendalikan sebuah jengkaut bagi melakukan kerja-kerja mengeluarkan tanah dari kolam ikan patin.
Menariknya, beliau mengendalikan sendiri jentera berkenaan tanpa bantuan individu lain yang kelihatan di lokasi.
Menerusi hantaran itu, Sanusi turut memaklumkan bahawa ikan patin yang diternaknya sudah habis terjual dan kerja membersihkan kolam dilakukan sebagai persediaan untuk memasukkan benih ikan baharu.
“Ikan patin dah habis terjual, kita cuci kolam dahulu sebelum hendak memasukkan benih patin baharu. Khusyuk tengok, kata kamu?” katanya secara berseloroh.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang rata-ratanya kagum melihat kemahiran Sanusi mengendalikan jengkaut.
Ada juga yang melihat tindakannya sebagai satu contoh positif dalam menggalakkan masyarakat memanfaatkan tanah yang dimiliki untuk aktiviti pertanian dan penternakan.
Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna Facebook, Mohd Zaidi Bin Desa berpendapat tindakan Sanusi secara tidak langsung memberi gambaran bahawa masyarakat boleh memulakan usaha mengusahakan tanah sendiri walaupun mempunyai komitmen kerja yang banyak.
Katanya, usaha tersebut boleh dimulakan secara kecil-kecilan sebelum dikembangkan secara berperingkat sehingga berupaya membuka peluang pekerjaan kepada orang lain.
“Cara Menteri Besar ini secara halus mengajak kita sama-sama memanfaatkan tanah yang ada. Kita orang Melayu di Kedah banyak tanah yang tidak diusahakan.
“Selalu beri alasan tiada masa, kerja banyak dan tiada masa untuk menguruskan. Tetapi Menteri Besar secara halus menunjukkan bahawa walaupun sibuk bekerja, masa cuti boleh dimanfaatkan untuk mengusahakan tanah.
“Tidak perlu mulakan dengan sesuatu yang besar. Jika tidak mampu mengupah orang, buat sendiri sedikit demi sedikit. Lama-kelamaan apabila berjaya, bolehlah mengambil pekerja,” katanya.
Sementara itu, pengguna Facebook, Fitri Hashim turut berpendapat tindakan melakukan kerja sendiri dapat menjimatkan perbelanjaan selain menggalakkan masyarakat memiliki pelbagai kemahiran.
“Jimat belanja apabila kerja seperti ini dibuat sendiri. Ada sesuatu yang Menteri Besar Kedah mahu sampaikan kepada rakyat. Setiap orang perlu mempunyai pelbagai kemahiran dan berkebolehan melakukan pelbagai jenis kerja.
“Tanah kosong jangan dibiarkan begitu sahaja, usahakan sehingga mendapat hasil,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Pak Long Hery pula ringkas menyifatkan Menteri Besar Kedah itu sebagai seorang pemimpin yang bersahaja.
“Menteri Besar kami sempoi,” jelasnya.

