Hasrat seorang kanak-kanak untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diterjemahkan menerusi sepucuk surat tulisan tangan yang dikongsikan ibunya di media sosial.
Menerusi hantaran di Threads, pengguna dikenali sebagai @ika.nikan85 berkongsi gambar anaknya yang tekun menulis surat khas buat Anwar, dengan harapan pemimpin itu sudi memenuhi jemputannya.
Lebih mencuit hati, surat berkenaan ditulis menggunakan bahasa yang ringkas dan penuh keikhlasan, malah turut disertakan lukisan hati sebagai tanda kasih.

Menerusi surat tersebut, Muaz memperkenalkan dirinya sebelum menyampaikan hasrat untuk menjemput Anwar menghadiri Karnival Anak Malaysia yang dijadual berlangsung pada 14 November 2026, iaitu hari Sabtu.
“Salam Tok Anwar.
“Saya Muaz, kelas Pra Mawar.
“Muaz nak ajak Tok Anwar datang ke Karnival Anak Malaysia pada 14 November 2026, hari Sabtu.
“Muaz nak sangat jumpa Tok Anwar.
“Terima kasih,” tulisnya.
Berkongsi mengenai tindakan anaknya itu, ibunya berkata dia melihat Muaz begitu bersungguh-sungguh menyiapkan surat berkenaan.
Menurutnya, dia kemudian cuba menyampaikan hasrat anaknya itu dengan berkongsi surat tersebut menerusi platform Threads, termasuk menandakan akaun Anwar dan Threads.
“Lihat anak tekun menulis, rupanya mahu memberikan surat kepada PMX, @anwaribrahim_my.
“Nak ajak datang ke karnival sekolahnya pada 14 November ini. Alahai anak. Bonda cuba nasiblah pos di Threads, kot-kot boleh tolong sampaikan hasratmu ini, nak,” kongsinya.
Hantaran tersebut mengundang pelbagai reaksi pengguna Threads yang rata-ratanya tersentuh melihat usaha Muaz menulis surat berkenaan.
Ada yang berharap hasrat kanak-kanak itu dapat disampaikan kepada Anwar, malah turut mendoakan agar Muaz berpeluang bertemu pemimpin nombor satu negara itu.
Menjengah ke ruangan komen, antara reaksi pengguna:
“Bukan mudah anak sekecil ini mengenali Perdana Menteri dan mempunyai keinginan untuk berjumpa dengannya. Anak saya pun tidak begitu. Semoga ada rezeki,” kata aunty.zue.
“Atok PMX, ada cucu rakyat Malaysia menulis surat untuk atok PMX. Dia berharap atok PMX sudi membaca surat itu dan hadir ke karnival sekolahnya,” komen iniduniakucing.
“Tolong beri perhatian. Gembirakan anak kecil ini,” kata pwinchessyana.
“Pandainya adik menulis surat. Ada pengenalan diri dan ucapan terima kasih. Kalau begini pandainya, cikgu boleh beri Tahap Penguasaan 6 (TP6),” jelas saffuan_9w2sfj.
“Awak buat cikgu awak kelam-kabut nanti,” kata ieymajai secara berseloroh.
“Kalau PMX jadi datang, kelam-kabutlah cikgu, pasukan protokol dan guru besar,” komen hey.__.kal88 secara spontan.

