“Ayah-ayah pun tidak kurang hebatnya, mengorbankan kolar baju.”
Demikian perkongsian seorang pengguna Threads, @Idahidayahmy yang mencuri perhatian netizen apabila memaparkan tindakan seorang bapa menyangkut baju sekolah anak pada kolar bajunya ketika menunggang motosikal.
Perkara itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang tersentuh melihat usaha seorang bapa memastikan keperluan anaknya terurus, meskipun dengan cara yang cukup sederhana.
Rata-rata netizen turut menitipkan doa agar lelaki berkenaan dikurniakan ganjaran terbaik atas pengorbanannya dalam membesarkan anak-anak.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang menganggap tindakan tersebut sebagai gambaran kasih sayang seorang bapa yang sering ditunjukkan melalui perbuatan, bukan sekadar kata-kata.
“Ini lah 'hero' yang selalu tak didendangkan. Terbaik ayah,” komen makdakrizqy.
“Benda wajib kena buat kalau ada anak perempuan,” kata pikah_ar secara berseloroh.
“Ingat, pendidikan tetap nombor satu. Ayuh ayah-ayah sekalian, teruskan perjuangan,” tulis burnszooloo.
“Inilah pengorbanan seorang ayah, tapi seseorang ayah tak ambil kisah pun. Janji anak gembira,” jelas fitri.barakah.
Perkongsian itu sekali gus mengingatkan orang ramai bahawa pengorbanan seorang bapa tidak semestinya hadir dalam bentuk perkara besar, sebaliknya turut terserlah melalui usaha kecil yang dilakukan demi memastikan anak-anak mendapat keperluan mereka.

