Senyuman yang terukir pada wajah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika bertemu kanak-kanak mencuri perhatian ramai, selepas beliau melalui tempoh sukar susulan pemergian isteri tercinta, Tun Dr Hasmah Mohd Ali.
Menerusi hantaran pelakon Datin Paduka Umie Aida, Tun M dilihat mengukir senyuman ketika bertemu kanak-kanak pada majlis tahlil Allahyarhamah Tun Hasmah di Yayasan Perdana, hari ini.

Perkembangan itu turut disusuli perkongsian anak sulungnya, Datin Paduka Marina Mahathir, yang memaklumkan keadaan bapanya kini menunjukkan perubahan positif.
Menurut Marina, Tun M semakin sihat, sudah boleh bercakap dan menunjukkan selera untuk makan, selain dilihat hampir kembali seperti keadaannya sebelum ini berbanding dua minggu lalu.
“Dia lebih aktif sikit dan lebih bersemangat. Kini, dia masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) dan belum boleh dibenarkan pulang ke rumah lagi,” katanya.
Dalam masa sama, Marina turut berkongsi bahawa keluarganya kini semakin menerima pemergian Allahyarhamah Tun Hasmah, meskipun kehilangan itu masih sukar untuk dipercayai.
“Kita sudah terima pemergian Allahyarham dari awal walaupun sukar pada awalnya. Lagipun, baru dua minggu. Masih susah percaya dia (Allahyarhamah) sudah tiada,” ujarnya.
Terdahulu, lebih 200 tetamu menghadiri majlis tahlil berkenaan, termasuk Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

