Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PROTON Perkasa Bakat Automotif Dengan Sumbangan Lapan Enjin

Syamimi
PROTON

PROTON Perkasa Bakat Automotif Dengan Sumbangan Lapan Enjin

Seiring aspirasi Malaysia untuk mempercepatkan pembangunan industri automotif berteknologi tinggi, PROTON terus memainkan peranan aktif dalam melahirkan generasi baharu tenaga kerja mahir menerusi inisiatif pendidikan melibatkan sumbangan unit enjin moden kepada institusi teknikal dan universiti di seluruh negara. 

PROTON telah berjaya menyerahkan beberapa unit enjin kepada institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terpilih serta pusat pengajian tinggi di Malaysia. Antara penerima terlibat ialah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Marang di Terengganu, Kolej Vokasional Arau di Perlis, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti DRB-HICOM dan Institut PROTON (ADTEC) Melaka. 

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan PROTON dalam memperkukuh ekosistem automotif negara di samping menyokong pembangunan graduan yang bersedia untuk industri menerusi pendedahan kepada pengetahuan teknikal dan praktikal sebenar. Dengan penyediaan unit enjin produksi sebenar berbanding model latihan konvensional, pelajar kini berpeluang menjalani pembelajaran secara praktikal menggunakan teknologi automotif sebenar.

Unit enjin yang disumbangkan akan digunakan sebagai alat bantu mengajar bagi pelbagai aplikasi teknikal termasuk pemasangan dan pembukaan enjin, diagnostik, pengenalan kepada ECU, analisis komponen serta latihan penyelenggaraan praktikal.

Pendedahan kepada sistem automotif dunia sebenar ini membolehkan pelajar memahami dengan lebih mendalam kerumitan kejuruteraan kenderaan moden, sekali gus merapatkan jurang antara teori akademik dan amalan industri. 

Bagi institusi pendidikan pula, kerjasama ini bukan sekadar sokongan dalam bentuk peralatan, malah membuka peluang kepada hubungan lebih rapat dengan industri automotif serta meningkatkan kualiti pendidikan teknikal yang ditawarkan kepada pelajar. Pada masa sama, PROTON turut mendapat manfaat menerusi pembangunan bakat masa hadapan yang lebih memahami teknologi dan piawaian digunakan dalam industri automotif nasional.

“Memainkan peranan aktif dalam pembangunan tenaga kerja mahir merupakan antara komitmen utama PROTON dalam menyokong pertumbuhan industri automotif Malaysia. Ia adalah tanggungjawab yang dipikul syarikat sejak penubuhannya pada tahun 1983, dan kini menjadi semakin penting berikutan peningkatan permintaan daripada pengeluar peralatan asal (OEM) dan pembekal komponen sejajar aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab automotif serantau.

“Menerusi pengagihan unit enjin kepada universiti dan institusi latihan teknikal, PROTON bukan sahaja melabur untuk masa depan industri, malah membantu melahirkan kumpulan bakat yang mempunyai pendedahan terus kepada teknologi automotif dan amalan kejuruteraan moden."

"Pada masa hadapan, kami juga bercadang untuk memperluaskan inisiatif ini dengan melibatkan komponen berkaitan EV sebagai sebahagian daripada usaha berterusan mempertingkatkan keupayaan tenaga kerja tempatan,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa.

Ketika industri automotif terus mengalami transformasi pesat menerusi pendigitalan, elektrifikasi dan pembangunan solusi mobiliti pintar, inisiatif seperti ini memainkan peranan penting dalam mempersiapkan generasi muda Malaysia untuk memenuhi keperluan tenaga kerja masa hadapan.

Melalui pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan keupayaan teknikal hari ini, PROTON membantu memastikan negara kekal berdaya saing dalam industri automotif masa depan, satu enjin, satu bilik darjah dan satu jurutera masa hadapan pada satu masa.