Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) memperluas penggunaan teknologi nuklear dalam sektor pertanian menerusi pembekalan benih padi inovasi NMR152 kepada pesawah asnaf terpilih di bawah Program Tanaman Padi Asnaf Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).
Nuklear Malaysia dalam satu kenyataan berkata, inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama LZNK itu bertujuan menilai keberkesanan varieti padi berkenaan dalam meningkatkan produktiviti tanaman dan hasil pengeluaran padi.

Menurut agensi itu, usaha berkenaan turut membuka peluang kepada peningkatan pendapatan serta kesejahteraan ekonomi pesawah asnaf menerusi sektor pertanian.
Jelasnya, varieti NMR152 merupakan hasil penyelidikan dan pembangunan Nuklear Malaysia menggunakan teknologi pembiakbakaan mutasi berasaskan teknologi nuklear.
Varieti tersebut dibangunkan dengan potensi hasil yang tinggi, ketahanan terhadap cuaca serta ciri agronomi yang lebih baik.
Pelaksanaan program berkenaan membolehkan prestasi NMR152 dinilai dalam keadaan penanaman sebenar, termasuk dari aspek pertumbuhan tanaman, kesesuaian dengan persekitaran sawah dan potensi peningkatan hasil tuaian, ujarnya.

Majlis penyerahan benih padi NMR152 disempurnakan Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato’ Syeikh Zakaria Othman.
Majlis itu turut disusuli aktiviti menabur benih padi NMR152 di tapak sawah sebagai simbolik permulaan inisiatif berkenaan.
Menurut kenyataan itu, program berkenaan bukan sahaja melibatkan pembekalan benih, malah merangkumi pemindahan teknologi menerusi latihan asas penanaman, khidmat nasihat teknikal dan pemantauan berkala sepanjang musim penanaman padi 2026/2027.
Prestasi varieti itu akan dinilai berdasarkan data pertumbuhan tanaman, hasil tuaian serta keberkesanan pengurusan agronomi bagi menentukan potensinya untuk digunakan secara lebih meluas pada masa hadapan.

Nuklear Malaysia berkata, kerjasama penyelidikan bersama LZNK itu menghubungkan hasil penyelidikan saintifik dengan keperluan sebenar masyarakat, khususnya dalam membantu meningkatkan potensi ekonomi golongan pesawah asnaf.
Jelasnya, penggunaan inovasi pertanian yang berpotensi meningkatkan hasil tanaman dan mengurangkan kos input juga dapat membantu pesawah memperoleh manfaat ekonomi lebih mampan, selain meningkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam penggunaan teknologi pertanian moden.
Pelaksanaan program itu turut selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 dan aspirasi Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R) yang menekankan penggunaan teknologi nuklear secara aman demi kesejahteraan masyarakat.

