Seramai 15,893 bakat tempatan berjaya ditempatkan melalui Akademi Dalam Industri (ADI) dengan penyertaan 3,064 syarikat setakat Oktober 2026, bagi memperkukuh tenaga kerja berkemahiran yang diperlukan industri negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hairil Yahri Yaacob berkata pembangunan bakat perlu bergerak seiring kemasukan pelaburan berimpak tinggi supaya manfaatnya diterjemahkan kepada pekerjaan berkualiti, penguasaan teknologi dan peningkatan pendapatan rakyat.
Menurutnya, Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM218.5 bilion pada separuh pertama 2026, meningkat 11.7 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, membabitkan 2,746 projek yang dijangka mewujudkan 99,030 peluang pekerjaan.
Bagaimanapun, beliau berkata ukuran kejayaan tidak seharusnya terbatas kepada nilai pelaburan yang diumumkan, sebaliknya turut mengambil kira keupayaan rakyat menguasai teknologi serta mengisi jawatan teknikal dan profesional.
“Pelaburan benar-benar berimpak tinggi apabila manfaat ini kekal dan berkembang dalam ekonomi negara,” katanya menurut teks ucapan perasmian Majlis Anugerah Media ADI 2026 di The Everly Putrajaya pada 27 Oktober.
Hairil berkata Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) memberikan penekanan kepada industri bernilai tinggi, kerencaman ekonomi dan penerapan teknologi, termasuk semikonduktor, aeroangkasa, pembuatan pintar, kecerdasan buatan serta teknologi hijau.
“Pelaburan dan pembangunan bakat mesti bergerak serentak. Kita tidak boleh membina industri masa hadapan dengan kemahiran semalam,” katanya.
Beliau berkata kerjasama antara pelabur, perusahaan kecil dan sederhana serta penyedia latihan perlu dirancang sejak peringkat awal projek bagi memastikan limpahan pelaburan turut dinikmati ekonomi tempatan.
Menurutnya, syarikat tempatan perlu diberikan peluang menjadi pembekal yang memenuhi standard antarabangsa, manakala pekerja memerlukan akses kepada kemahiran untuk beralih daripada tugas rutin kepada fungsi lebih kompleks dan bernilai tinggi.
Hairil berkata pendekatan ADI yang berteraskan konsep “Dapat Kerja, Gaji dan Kemahiran” menyediakan pengalaman bekerja sambil membangunkan kompetensi mengikut keperluan sebenar majikan.
Melalui pendekatan penempatan dan latihan atau Place and Train, peserta memperoleh pembelajaran ketika menyelesaikan masalah, mengendalikan peralatan serta menyesuaikan diri dengan budaya kerja industri.
Beliau berkata inisiatif itu turut menyokong sasaran Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), termasuk pertumbuhan produktiviti buruh sebanyak 3.6 peratus setahun, gaji bulanan median RM3,500 dan bahagian pampasan pekerja sebanyak 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar menjelang 2030.
RMK13 turut menyasarkan peningkatan bahagian pekerja mahir kepada 35 peratus menjelang 2030 berbanding 30.1 peratus pada 2025.
“Produktiviti bukan bermaksud meminta pekerja bekerja lebih lama. Sebaliknya, ia bermaksud menghasilkan nilai yang lebih tinggi melalui kemahiran, proses yang cekap dan penggunaan teknologi secara bijak,” katanya.
Hairil berkata ADI juga menyokong usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing secara terancang, dengan RMK13 menyasarkan bahagian pekerja asing kepada 10 peratus menjelang 2030.
Menurutnya, seramai 2.13 juta pekerja warga asing, bersamaan 12.7 peratus daripada 16.77 juta penduduk bekerja, direkodkan pada suku kedua 2026.
Bagaimanapun, kejayaan ADI memerlukan komitmen majikan untuk menyediakan bimbingan, pekerjaan berkualiti serta laluan peningkatan kemahiran selepas penempatan.
Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Kamaruzzaman Johari berkata ADI merupakan instrumen reformasi pasaran buruh yang menghubungkan keperluan industri dengan potensi tenaga kerja tempatan.
Menurutnya, model latihan itu melibatkan 80 peratus pembelajaran secara praktikal di tempat kerja, manakala baki 20 peratus tertumpu kepada pengukuhan teori dan kompetensi.
Beliau berkata peningkatan kemahiran membolehkan pekerja menghasilkan kerja lebih berkualiti, mengurangkan pembaziran, mempercepat proses dan menjana nilai tambah kepada perniagaan.
“Nilai tambah itu sewajarnya diterjemahkan kepada kemajuan kerjaya dan peningkatan gaji,” katanya menurut teks ucapan aluan majlis berkenaan.
Kamaruzzaman turut menyeru lebih banyak syarikat membuka ruang penempatan, melibatkan pakar industri sebagai pembimbing dan menyediakan laluan kemajuan kerjaya yang jelas kepada peserta ADI.
Dalam pada itu, beliau berkata Anugerah Media ADI 2026 anjuran MPC dengan kerjasama Institut Akhbar Malaysia (MPI) menerima 69 penyertaan dalam tiga kategori.
Daripada jumlah itu, 30 penyertaan diterima bagi kategori Televisyen, Radio dan Portal Video, 29 bagi Media Cetak dan Portal Berita serta 10 bagi Media Sosial – Video Pendek.
Bagi kategori Televisyen, Radio dan Portal Video, Zarith Sofia Hatun Rahman Khan memenangi tempat pertama menerusi karya “Produktiviti Negara Dalam Ketidaktentuan Global”, diikuti Siti Rohani Surani di tempat kedua dan Muhammad Najib Md Nazri di tempat ketiga.
Penerima saguhati kategori itu ialah Siti Hashmarr Mohd Hashim bersama Edlynna Hanie Abu Hamid; Norhayati Paradi; Siti Hashmarr Mohd Hashim bersama Nurul Shuhadah Armawan; serta Marina Ahmad.
Muhammad Basir Roslan pula mengungguli kategori Media Cetak dan Portal Berita menerusi karya “ADI Pekerjaan Tawar Peluang Kedua, Rawat Isu Ketidakpadanan Kemahiran Pekerja”.
Tempat kedua dimenangi Mohd Khuza iri Ismail, manakala Mohd Noor Iqram Rosli meraih tempat ketiga. Anugerah saguhati diberikan kepada Mohd Nazmi Yaakub, Iylia Marsya Iskandar dan Ku Ridhwan Ku Noh.
Bagi kategori Media Sosial – Video Pendek, Nursyamimi Syahira Saripan meraih tempat pertama menerusi karya mengenai isu ketidakpadanan kemahiran graduan dengan keperluan industri.
Iylia Marsya Iskandar memenangi tempat kedua, diikuti Nurul Amalia Mohd Azmi di tempat ketiga, manakala Hasalni Mohd Alwi dan Muhammad Azmi Jamaludin menerima saguhati.
Hairil turut menggesa pengamal media meneliti impak sebenar program pembangunan kemahiran, termasuk sama ada peserta memperoleh kemahiran yang diiktiraf serta menikmati pekerjaan dan pendapatan lebih baik.
Menurutnya, laporan yang menggabungkan data, pengalaman pekerja, pandangan industri dan penjelasan dasar dapat membantu masyarakat membuat keputusan mengenai latihan serta kerjaya, selain memberikan maklum balas untuk menambah baik pelaksanaan program.

