Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) buat julung kalinya menganjurkan Konvensyen Baitulmal Nusantara 2026 (KBN 2026) yang menghimpunkan kira-kira 400 peserta dari lima negara bagi memperkukuh institusi Baitulmal serta pengurusan harta Islam di rantau Nusantara.
Konvensyen bertemakan “Memperkasa Amanah, Membangun Kekayaan, Memakmur Ummah” itu berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 November 2026.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh institusi Baitulmal dan memperkasakan pengurusan harta Islam.
Menurut MAIS dalam satu kenyataan hari ini, KBN 2026 menjadi platform strategik yang menghimpunkan ahli akademik, penggubal dasar serta pengamal industri untuk berkongsi pengetahuan, meneroka perkembangan semasa dan membincangkan cabaran serta peluang dalam pengurusan harta Islam.
Katanya, seramai 400 peserta daripada pelbagai latar belakang profesional menyertai konvensyen berkenaan, termasuk pembentang dan peserta dari Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura serta Thailand.
Penglibatan negara serantau itu jelasnya, mencerminkan kepentingan kerjasama rentas negara dalam memperkukuh ekosistem pengurusan harta Islam.
Sepanjang tiga hari penganjuran, sebanyak 23 pembentangan oleh pakar serantau diketengahkan dengan merangkumi pelbagai topik berkaitan pengurusan harta pusaka, wasiat, hibah, wakaf dan zakat.
Ujarnya, perbincangan turut meliputi aspek syariah, perundangan, tadbir urus, kewangan dan ekonomi.
Antara pembentangan yang diketengahkan ialah dalam Sesi Perspektif Baitulmal dan Kewangan Islam Nusantara bertemakan “Tadbir Urus, Institusi dan Pemberdayaan Ekonomi Ummah”.
Sesi itu menampilkan Setiausaha MAIS, Tuan Haji Mohd Sabirin Mohd Sarbini yang membentangkan kertas kerja bertajuk “MAIN Sebagai Peneraju Ekosistem Kehartaan Islam: Memperkukuh Regulasi, Memperluas Perkhidmatan”.
Turut membentangkan kertas kerja ialah Naib Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) merangkap Pengerusi Bahagian Thamwil dan Harta Majlis Ugama Islam (BTHMUI), Dato’ Seri Setia Dr. Awang Haji Norarfa Haji Zainal menerusi tajuk “Tadbir Urus Harta Baitulmal di Negara Brunei Darussalam: Memperkukuh Amanah, Kelestarian dan Kemaslahatan Umat”.
Selain itu, Prof. Dr. Zakariya Hama, Pengarah Pusat Kewangan dan Ekonomi Islam, Fakulti Sains Islam, Universiti Prince of Songkla, Pattani, Thailand turut membentangkan kertas kerja bertajuk “Tadbir Urus Syariah, Cabaran dan Prospek Pembangunan Ekonomi Komuniti Islam di Thailand”.
MAIS berkata, penganjuran KBN 2026 diharapkan dapat menghasilkan resolusi yang kukuh dan berimpak tinggi sebagai panduan serta hala tuju strategik dalam memperkasakan ekosistem Baitulmal.
Jelasnya, usaha itu juga penting bagi memastikan kelestarian pengurusan harta Islam di seluruh rantau Nusantara.


