Sorgum yang mempunyai nama saintifik Sorghum bicolor atau turut dikenali sebagai betari dalam bahasa Melayu merupakan antara tanaman bijirin yang mempunyai banyak manfaat serta potensi besar dalam pelbagai sektor.
Justeru, tidak hairanlah jika sorgum menjadi antara tanaman bijirin utama di dunia.
Baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir turut memperkenalkan tanaman itu ketika sesi perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
Beliau menyarankan agar negeri jelapang padi itu menjadi peneraju tanaman sorgum sebagai alternatif kepada padi.
Persoalannya, apa khasiat dan manfaat yang terhasil dari tanaman ini? Adakah ia tanaman yang lebih lestari? Untuk mengetahui lebih lanjut, ikuti perkongsian di bawah ini.

Sejarah dan asal usul sorgum
Sorgum merupakan bijirin purba dan sumber protein mesra alam yang kaya dengan pelbagai nutrien. Ia tanaman yang serba guna kerana boleh ditanam untuk menghasilkan bijirin, makanan ternakan (foraj) atau sebagai tanaman manis.
Untuk pengetahuan, asal usul dan proses domestikasi awal sorgum bermula di kawasan timur laut Afrika, di mana rekod terawal mengenai sorgum ditemui melalui penggalian arkeologi di Nabta Playa.
Ia terletak berhampiran dengan sempadan Mesir-Sudan, yang dianggarkan bermula sejak 8,000 Sebelum Masihi.
Sorgum kemudiannya tersebar ke seluruh benua Afrika dan menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan persekitaran, bermula dari kawasan tanah tinggi Ethiopia hingga ke kawasan separa gersang Sahel.
Perkembangan dan penyebaran lima jenis utama sorgum dipercayai berkait rapat dengan perpindahan pelbagai kumpulan suku kaum di Afrika.
Seterusnya, sorgum tersebar ke India dan China sebelum akhirnya diperkenalkan ke Australia.
Rekod pertama mengenai kewujudan sorgum di Amerika Syarikat dicatatkan oleh Ben Franklin pada tahun 1757, apabila beliau menulis tentang penggunaannya dalam penghasilan penyapu.

Khasiat sorgum
1. Sorgum berpotensi menghalang pertumbuhan tumor kanser
Sorgum mengandungi sebatian yang dikenali sebagai 3-Deoxyanthocyanins (3-DXA), yang banyak terdapat dalam varieti sorgum berwarna gelap dan dalam kuantiti yang lebih rendah bagi sorgum berwarna putih.
Penyelidik dari Universiti Missouri telah menguji ekstrak sorgum hitam, merah dan putih, lalu mendapati bahawa ketiga-tiga ekstrak tersebut menunjukkan aktiviti antiproliferatif yang kuat terhadap sel kanser kolon manusia.
2. Berpotensi membantu mengurangkan risiko komplikasi diabetes
Paras gula yang tinggi dalam darah boleh meningkatkan pembentukan sebatian yang dikenali sebagai advanced glycation endproducts (AGEs), yang dikaitkan dengan pelbagai komplikasi diabetes.
Bagaimanapun, satu kajian dari Universiti Georgia mendapati bahawa dedak sorgum yang kaya dengan sebatian fenolik dan antioksidan berpotensi menghalang proses glikasi protein, iaitu salah satu proses yang membawa kepada pembentukan AGEs.
Sebaliknya, ekstrak dedak gandum, beras, oat serta dedak sorgum yang mempunyai kandungan fenolik rendah tidak menunjukkan kesan yang sama dalam kajian tersebut.
Penemuan ini menunjukkan bahawa dedak daripada varieti sorgum tertentu berpotensi mempengaruhi proses biologi penting yang berkaitan dengan diabetes dan rintangan insulin.
Bagaimanapun, kajian lanjut diperlukan bagi mengetahui kesannya terhadap kesihatan manusia.
3. Selamat dimakan oleh individu yang menghidap penyakit seliak (Celiac Disease)
Dianggarkan sehingga satu peratus penduduk Amerika Syarikat dan kira-kira 0.5 peratus penduduk dunia menghidap penyakit seliak.
Penyakit seliak merupakan sejenis penyakit autoimun yang berlaku apabila sistem imun badan bertindak balas terhadap gluten, iaitu protein yang terdapat dalam gandum, barli dan rai.
Sorgum telah lama dianggap selamat untuk individu yang menghidap penyakit seliak kerana secara semula jadinya tidak mengandungi gluten.
Satu kajian yang dijalankan oleh penyelidik di Itali telah menguji keselamatan sorgum melalui ujian makmal dan kajian pemakanan terhadap pesakit seliak selama lima hari.
Hasil kajian mendapati bahawa pesakit tidak mengalami sebarang gejala penyakit dan paras penanda penyakit, iaitu antibodi anti-transglutaminase, tidak menunjukkan perubahan selepas tempoh lima hari tersebut.
4. Berpotensi membantu mengawal paras kolesterol
Penyelidik dari Universiti Nebraska mendapati bahawa sorgum merupakan sumber yang kaya dengan fitokimia dan berpotensi membantu dalam pengurusan paras kolesterol.
Dalam satu kajian, hamster diberikan diet yang mengandungi pelbagai tahap lipid sorgum selama empat minggu.
Hasil kajian menunjukkan bahawa lemak sihat dalam sorgum berjaya mengurangkan paras kolesterol bukan HDL (kolesterol tidak baik) secara ketara.
Pengurangan kolesterol bukan HDL adalah antara 18% bagi diet yang mengandungi 0.5% lipid sorgum hingga 69% bagi diet yang mengandungi 5% lipid sorgum.
Pun begitu, paras kolesterol baik (HDL) tidak menunjukkan sebarang perubahan.
Penyelidik menyimpulkan bahawa bijirin sorgum mengandungi komponen bermanfaat yang berpotensi digunakan sebagai bahan makanan atau suplemen pemakanan untuk membantu menguruskan paras kolesterol manusia.
5. Kandungan antioksidan sorgum lebih tinggi berbanding bijirin dan buah-buahan lain
Penyelidik Joseph Awika dan Lloyd Rooney dari Universiti Texas A&M telah menjalankan kajian ulasan menyeluruh terhadap pelbagai penyelidikan berkaitan sorgum.
Mereka menyimpulkan bahawa fitokimia yang terkandung dalam sorgum mempunyai potensi untuk memberikan kesan positif terhadap kesihatan manusia.
Secara khususnya, mereka mengetengahkan bukti bahawa sorgum berpotensi membantu mengurangkan risiko sesetengah jenis kanser serta menyokong kesihatan kardiovaskular.
Kandungan fitokimia dan antioksidan dalam sorgum menjadikannya salah satu sumber bijirin yang berpotensi menyumbang kepada pemakanan sihat.
6. Sorgum Berpotensi Membantu dalam Rawatan Melanoma Manusia
Sekumpulan penyelidik di Madrid telah mengkaji kesan tiga komponen berbeza daripada wain dan satu komponen daripada sorgum terhadap pertumbuhan sel melanoma manusia.
Walaupun keputusan kajian menunjukkan kesan yang berbeza-beza, penyelidik menyimpulkan bahawa keempat-empat komponen tersebut, khususnya pecahan fenolik, mempunyai potensi untuk dikaji sebagai agen terapeutik dalam rawatan melanoma manusia.
Walau bagaimanapun, mekanisme tindakan setiap komponen dalam memperlahankan pertumbuhan sel kanser mungkin berbeza.
Kegunaan sorgum dalam pelbagai industri
Di Amerika Syarikat dan negara-negara lain di seluruh dunia, bijirin sorgum digunakan terutamanya sebagai makanan ternakan dan bahan penghasilan etanol.
Namun, tanaman ini semakin mendapat tempat dalam industri makanan pengguna serta pasaran baharu yang sedang berkembang.
1. Industri penternakan
Industri penternakan merupakan antara pasaran yang paling lama menggunakan sorgum di Amerika Syarikat.
Dalam industri ini, sorgum digunakan sebagai bahan campuran makanan ternakan seperti ayam, lembu pedaging, lembu tenusu dan khinzir.
Selain bijirinnya, batang dan daun sorgum turut dimanfaatkan sebagai makanan ternakan segar, rumput kering, silaj (makanan ternakan yang diawet melalui proses penapaian) serta tanaman ragutan.
2. Penghasilan bahan api boleh diperbaharui
Secara tradisinya, hampir satu pertiga daripada hasil tanaman sorgum di Amerika Syarikat digunakan untuk penghasilan bahan api boleh diperbaharui.
Menariknya, sorgum mampu menghasilkan jumlah etanol yang setara bagi setiap bushel berbanding bahan mentah lain yang sebanding, dengan penggunaan air sehingga satu pertiga lebih rendah.
3. Industri eksport
Eksport sorgum menyumbang sebahagian besar kepada pasaran sorgum Amerika Syarikat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Antara negara yang mengimport sorgum termasuk Mexico, China, Jepun dan beberapa negara lain.
Meskipun sorgum lazimnya digunakan sebagai makanan ternakan di negara-negara berkenaan, peluang penggunaannya dalam industri makanan manusia serta penghasilan etanol juga semakin berkembang.
4. Industri makanan manusia
Berkat kandungan nutrisi yang tinggi dan sifatnya yang serba guna, pengguna serta pengusaha makanan semakin kreatif dalam memanfaatkan sorgum sebagai hidangan sarapan pagi, makan tengah hari, makan malam, malah sebagai snek.
Bijirin sorgum juga boleh dimasak menggunakan dapur, periuk masak perlahan, ketuhar atau periuk nasi bagi memberikan kelainan kepada resipi kegemaran.
Malah, sorgum kini digunakan dalam lebih 350 rangkaian produk di Amerika Syarikat sahaja. Perkembangan ini memperlihatkan peningkatan populariti sorgum sebagai sumber protein berasaskan tumbuhan yang tidak diubah suai secara genetik (bukan GMO).
Tidak hairanlah jika tanaman sorgum semakin mendapat perhatian berikutan pelbagai khasiat dan kegunaannya yang mampu memberi manfaat kepada manusia serta pelbagai industri.
Potensi tanaman ini wajar dikaji dengan lebih mendalam agar dapat dimanfaatkan sebagai sumber makanan alternatif, sekali gus mempelbagaikan hasil pertanian pada masa hadapan.



