Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memulakan kajian bagi mengenal pasti kawasan berpotensi di Sungai Penchala untuk diwartakan sebagai zon kampung tradisi dalam usaha mengekalkan warisan serta identiti perkampungan Melayu di ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, cadangan berkenaan bagaimanapun bergantung kepada pandangan dan persetujuan pemilik tanah menerusi proses libat urus yang akan dilaksanakan DBKL.
Menurutnya, kajian itu penting bagi memastikan usaha memelihara warisan kampung Melayu dapat dilaksanakan dengan mengambil kira hak pemilik tanah serta keperluan pembangunan semasa.
“Keputusan terletak dalam tangan penduduk. Saya tidak boleh membuat keputusan untuk mereka, tetapi saya sudah memulakan proses untuk meneliti perkara ini seperti yang dijanjikan.
“Keutamaan diberikan kepada pemilik tanah yang mempunyai kuasa menentukan hala tuju pembangunan tanah masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman kajian potensi pengezonan Kampung Sungai Penchala di sini.
Hannah berkata, Sungai Penchala mempunyai nilai sejarah tersendiri memandangkan kawasan perkampungan Melayu seperti itu semakin sukar ditemui di Kuala Lumpur susulan pembangunan pesat.
Katanya, kajian berkenaan turut mengambil kira pembangunan bangunan bertingkat di kawasan itu yang berpotensi mengubah identiti asal kampung sekiranya tidak dikawal.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, kajian Pelan Kawalan Mikro (PKM) akan mengenal pasti lot tanah yang berpotensi untuk dicadangkan sebagai zon kampung tradisi, khususnya di kawasan selatan Sungai Penchala Link.
Menurutnya, DBKL akan mengadakan sesi libat urus dan tinjauan khas bagi mendapatkan pandangan penduduk, termasuk pemilik tanah, sebelum cadangan pengezonan serta parameter pembangunan ditentukan.
Jelasnya, sekiranya kawasan berkenaan dicadangkan sebagai zon kampung tradisi, beberapa kawalan pembangunan akan ditetapkan meliputi ketinggian bangunan, kepadatan serta jenis rumah yang dibenarkan.
Fadlun berkata, kajian PKM itu dijangka selesai pada Februari 2027, manakala proses pameran awam bagi cadangan perubahan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) dijangka berlangsung pada Mei 2027.
Pewartaan perubahan pelan tempatan berkenaan pula disasarkan pada Februari 2028, tertakluk kepada penyempurnaan proses serta kelulusan berkaitan.

