PUTRAJAYA – Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 tiba di kemuncaknya apabila drama berjudul Selampai Labung oleh Danny Alamsyah Adriansyah memenangi Drama TV Terbaik dengan membawa pulang trofi kemenangan, hadiah wang tunai bernilai RM5,000 dan Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM200,000.
Majlis penuh prestij dan meriah berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dengan kehadiran Menteri Komunikasi, YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil.
Dokumentari berjudul Di Sebalik Bayangan Harimau oleh Baharunnurdalila Baharuddin memenangi Anugerah Dokumentari TV Terbaik dengan merangkul trofi, hadiah wang tunai bernilai RM5,000 dan DKK berjumlah RM150,000.
ASA 2026 turut menyaksikan YBhg. Dato’ Rahim Razali dinobatkan sebagai Tokoh Seri Angkasa, manakala Kumang and the Ungrateful Phyton oleh Khiu Siaw Fong pula telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Juri.
Pemenang bagi kategori lain turut menerima hadiah kemenangan yang disediakan oleh Kementerian Komunikasi, berupa trofi dan wang tunai berjumlah RM5,000.00 bagi setiap pemenang.
Sebanyak 60 kategori dipertandingkan meliputi 40 kategori televisyen, 17 kategori radio dan tiga kategori media baharu. Selain itu, dua kategori khas iaitu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Seri Angkasa.


Mengangkat tema “Segalanya Bermula di Sini”, ASA 2026 menerima sebanyak 1,601 pencalonan merangkumi 1,106 pencalonan bagi kategori televisyen, 421 bagi kategori radio dan 74 bagi kategori media baharu.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Abdul Halim Hamzah; Ketua Pengarah, Jabatan Penyiaran Malaysia, Yang Berbahagia Datuk Ashwad Ismail; Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Bahria Mohd Tamil; Ketua Pengarah, Jabatan Penerangan Malaysia, Encik Erwin Khairul Ahmad; pengurusan kanan kementerian, para penaja, penggiat industri penyiaran, penerbit, pengamal media serta pemain industri kreatif negara.
