Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dari Pelbagai Kerja Sambilan Hingga Bergelar Eksekutif, Kisah Mahasiswa UUM Ini Bukti Usaha Tak Mengkhianati Hasil

Usaha Tak Mengkhianati Hasil
Kredit: UUM

Bagi kebanyakan mahasiswa, menumpukan perhatian terhadap pelajaran sememangnya menjadi keutamaan sepanjang tempoh pengajian di universiti.

Namun, ada juga yang mengambil peluang untuk melakukan pekerjaan sambilan atau menyertai aktiviti lain bagi menambah pengalaman dan mencari pendapatan sendiri.

Begitu juga dengan seorang mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Afiq Aiman Idris, yang bukan sahaja sibuk menyiapkan tugasan dan menghadiri kuliah, malah melakukan pelbagai pekerjaan sambilan demi menampung kos sara hidup.

Menerusi perkongsian UUM, Afiq Aiman, 24, yang berasal dari Alor Setar, Kedah, memilih untuk tidak terlalu bergantung kepada keluarganya dalam memenuhi keperluan sepanjang tempoh pengajian.

Ini kerana dia sedar kemampuan keluarganya juga terbatas apabila bapanya, Idris Ahmad, 50, bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah, manakala ibunya, Mah Seroh Nasir, 48, bertugas sebagai pembantu kantin sekolah.

Justeru, Afiq mengambil inisiatif melakukan pelbagai pekerjaan sambilan, termasuk menjadi penghantar makanan GrabFood, pengawal keselamatan gantian, menjual makanan, menerima tempahan kek coklat moist serta menjadi pemandu kereta sewa.

“Bagi Afiq, tiada pekerjaan yang terlalu kecil atau memalukan selagi rezeki yang diperoleh datang daripada usaha sendiri,” kongsi UUM.

Kesungguhannya mencari pendapatan sendiri turut menjadikan rutin harian Afiq berbeza daripada kebanyakan mahasiswa lain.

Seawal selepas solat Subuh, dia sudah berada di dapur untuk menggoreng lokching dan menyediakan makanan ringan sebelum menghantarnya ke bangunan Pusat Pengajian Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) untuk dijual.

Selesai menguruskan jualan, dia akan bergegas menghadiri kuliah seperti biasa sebelum meneruskan pekerjaan lain apabila mempunyai kelapangan.

Jika tiada kelas, Afiq akan mengambil tempahan sebagai pemandu kereta sewa, menyediakan kek coklat moist serta menguruskan jualan makanannya.

Malah, dia biasanya hanya pulang ke rumah sekitar pukul 10 malam, namun masih perlu menyelesaikan urusan penghantaran kek kepada pelanggan.

Selain itu, Afiq turut menjual pelbagai barangan makanan seperti telur, mi segera, biskut, gula-gula dan ramen di kaki lima blok Inapan Siswa YAB bagi menambah sumber pendapatan.

Kesibukan itu tidak terhad ketika semester berlangsung kerana setiap kali cuti semester, Afiq akan pulang ke Alor Setar untuk meneruskan pekerjaannya sebagai penghantar GrabFood dari awal pagi hingga malam.

Ada kalanya, dia turut menerima panggilan untuk menggantikan pengawal keselamatan yang bercuti dengan menjalani syif malam dari pukul 8 malam hingga 8 pagi.

Dalam kesibukan mencari rezeki, Afiq masih mampu membahagikan masa untuk memenuhi tanggungjawabnya sebagai anggota Kor SUKSIS UUM yang telah ditauliahkan.

Latihan serta komitmen bersama pasukan itu turut menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya sepanjang bergelar mahasiswa.

Pengorbanan Afiq tidak terhenti selepas menamatkan pengajian kerana ketika menjalani latihan industri di Kedah Agro Ausin Berhad di bawah Ausin Group, Langkawi, dia masih meneruskan pekerjaan sambilan.

Selain menjalankan tugas sebagai Aquaculture Admin Executive bagi menggantikan kakitangan yang bercuti bersalin, Afiq turut bekerja sebagai penghantar GrabFood pada sebelah petang.

Malah, pada waktu malam dari pukul 8 hingga 11 malam, dia turut bekerja sambilan di bahagian dapur Ayam Gepuk Pak Raden Langkawi.

Segala usaha dan komitmen yang ditunjukkannya akhirnya membuahkan hasil apabila Afiq diserap sebagai kakitangan tetap syarikat berkenaan dan kini memegang jawatan Project Operation Executive.

Afiq Azmi Bukti Usaha Tak Mengkhianati Hasil

Bagi Afiq, setiap penat lelah dan masa yang dikorbankan sepanjang bergelar mahasiswa bukanlah sesuatu yang sia-sia.

Hasil titik peluh sendiri bukan sahaja membolehkannya menampung kos sara hidup dan keperluan pengajian, malah dia turut berjaya memiliki sebuah motosikal dan kereta hasil pendapatan daripada pelbagai pekerjaan.

Kisah Afiq membuktikan bahawa kejayaan tidak semestinya bermula dengan kehidupan yang serba lengkap, sebaliknya boleh dibina melalui usaha, pengorbanan dan keazaman untuk mengubah kehidupan.

Baginya, segulung ijazah bukan sekadar lambang kejayaan akademik, tetapi juga bukti bahawa setiap titik peluh dan kesusahan yang dilalui mampu membawanya melangkah lebih jauh.

Afiq berjaya menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Perniagaan Tani dan menerima skrol yang disampaikan Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, di Dewan Mu'adzam Shah pada sesi keenam pagi tadi.

Intipati
  • Afiq Aiman melakukan pelbagai kerja sambilan bagi menampung kos sepanjang pengajian di UUM.
  • Beliau turut aktif dalam Kor SUKSIS UUM dan menjalani latihan industri di Langkawi.
  • Afiq menamatkan ijazah dan diserap sebagai Project Operation Executive di syarikat latihan industrinya.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan