Kalau selalunya orang pergi ke kubur rasa seram dan takut, tapi bagi pemilik akaun TikTok dan Instagram @siskubur yang dikenali sebagai Sis Kubur atau nama sebenar beliau Nurain Fatin Abdul Rasid, tanah perkuburan kini menjadi tempat dia mencari rezeki halal demi menyara keluarga.
Menerusi video-video serta hantaran gambar yang dimuat naik sendiri di media sosialnya, Sis Kubur berkongsi realiti sebenar kerjayanya menguruskan khidmat menyelenggara, membersih, dan membaik pulih pusara lama menjadi cantik semula.
“Tak perlu keluar bajet besar...”

Meninjau ke hantaran akaun media sosial miliknya, Sis Kubur sering berkongsi pesanan ringkas rohani dan motivasi buat pengikutnya. Dia menjelaskan bahawa usaha membaik pulih pusara yang dibuatnya adalah bertujuan untuk memastikan kawasan tersebut kekal selesa dan selamat untuk diziarahi oleh para waris.
Paling menarik perhatian netizen, beliau turut menegaskan bahawa para waris tidak perlu mengeluarkan modal yang terlalu besar semata-mata untuk mencantikkan pusara.
Cukuplah sekadar membaik pulih apa yang patut demi menghormati insan tersayang yang telah pergi.
“Tak perlu keluar duit terlalu banyak, cukup sekadar baik pulih. InshaAllah sis cuba sebaiknya,” ujarnya di ruangan kapsyen media sosial miliknya.
Hasil kerja kemas, 'Before & After' buat ramai berpuas hati

Menerusi klip video pendek yang dikongsikannya, Sis Kubur kerap memaparkan transformasi 'sebelum dan selepas' keadaan pusara lama yang ditumbuhi rumput meliar diubah menjadi sangat bersih, teratur, dan sedap mata memandang.
Dia memotong rumput, membersihkan kotoran, dan memperkemas struktur binaan pusara.
Disebabkan hasil kerjanya yang sangat teliti, ramai pengikut media sosialnya yang meninggalkan komen berpuas hati dan berterima kasih atas servis yang diberikan.
Malah, bagi sesiapa yang berminat untuk menguruskan pusara ahli keluarga mereka di sekitar kawasan perkhidmatannya, Sis Kubur secara terbuka meminta mereka untuk terus menghantar mesej langsung (DM) di akaun media sosialnya untuk urusan tempahan.

