Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Langgar Peraturan Anti-Diskriminasi, FIFA Denda Persatuan Bola Sepak Israel
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah mendenda Persatuan Bola Sepak Israel (IFA) sebanyak AS$190,700 (RM751,167) susulan pelbagai pelanggaran terhadap peraturan anti-diskriminasi.
Memetik AFP, laporan oleh jawatankuasa disiplin badan induk bola sepak dunia itu mendapati IFA gagal mengambil tindakan bermakna terhadap Beitar Jerusalem berhubung tingkah laku perkauman yang berterusan dan didokumentasikan dengan baik.
Pada Oktober 2024, Persatuan Bola Sepak Palestin melaporkan dakwaan diskriminasi oleh IFA kepada FIFA, yang kemudiannya memulakan siasatan.
FIFA bagaimanapun tidak mengenakan sekatan seperti yang diminta oleh persatuan Palestin, yang sebelum ini berhujah supaya IFA digantung.
Namun, IFA didapati gagal mematuhi objektif statut FIFA, menurut keputusan panjang yang diterbitkan jawatankuasa disiplin, yang turut menyenaraikan beberapa insiden perkauman dalam bola sepak Israel.
Jawatankuasa itu menegaskan bahawa tindakan terhadap Beitar adalah lemah dan tidak mencukupi dari segi substantif walaupun wujud tingkah laku diskriminasi.
Menurut laporan itu, penyokong kelab tersebut terlibat dalam tingkah laku perkauman yang berterusan.
“Penggunaan slogan seperti forever pure serta laungan berulang berunsur penghinaan etnik seperti ‘pengganas’ yang ditujukan kepada pemain Arab bukan insiden terpencil, sebaliknya mencerminkan corak sistemik yang melanggar norma tingkah laku dan mencemarkan imej sukan," kata FIFA menerusi laporan itu.
Sebagai tindakan, IFA diberikan amaran dan diarahkan memaparkan sepanduk besar dan jelas dalam tiga perlawanan di laman sendiri bagi kejohanan FIFA dengan mesej: “Football Unites the World, No to Discrimination”.
Selain itu, IFA juga perlu menyalurkan satu pertiga daripada jumlah denda untuk melaksanakan pelan tindakan bagi menangani diskriminasi serta mencegah kejadian berulang.

Laporan tersebut turut menyebut kegagalan IFA untuk bertindak terhadap mesej berunsur politik dan ketenteraan oleh Ketua Pegawai Eksekutif liga profesional Israel dan kelab Maccabi Netanya sebagai faktor yang memburukkan lagi pelanggaran tersebut.
“IFA tidak membuat sebarang kenyataan awam mengecam perkauman, tidak melancarkan kempen anti-diskriminasi, serta tidak mengambil langkah memupuk penyertaan pemain Arab atau Palestin.
“Ia juga tidak menggunakan platformnya untuk mempromosikan keamanan atau mengekang pempolitikkan bola sepak oleh kelab dan pegawai yang bernaung di bawahnya,” menurut laporan itu.
Dalam siasatan berasingan, FIFA mengumumkan tiada tindakan akan diambil terhadap IFA berhubung dakwaan penglibatan kelab Israel yang berpangkalan di Tebing Barat dalam liga Israel.
Jawatankuasa tadbir urus, audit dan pematuhan FIFA membuat keputusan tersebut dengan alasan bahawa status undang-undang muktamad Tebing Barat masih belum diselesaikan dan merupakan isu kompleks di bawah undang-undang antarabangsa.