Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

All Star Legends Bakal 'Gegar' Bukit Jalil, Dibarisi Bintang Bola Sepak Dunia
KUALA LUMPUR, 8 Mei 2026 — Peminat bola sepak di Malaysia bakal dipersembahkan dengan satu perlawanan bola sepak yang tidak dapat dilupakan.
Tahun ini, AllStar Sports Sdn.Bhd. (AllStar Sports) kembali dengan All Star Legends ke Kuala Lumpur.
Perlawanan ini dijadualkan akan berlangsung pada 3 Oktober ini di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Perlawanan pameran ini juga akan menghimpunkan beberapa bintang paling ikonik dalam dunia bola sepak bagi meraikan detik-detik hebat sukan ini.
All Star Legends juga turut disokong oleh beberapa barisan rakan kongsi iaitu, BYD Sime Motors sebagai Rakan Automotif Rasmi dan Gambit Group sebagai Penaja Bersama, NIVEA MEN dan Spritzer Berhad sebagai Penaja Emas, Seni Jaya Corporation Berhad sebagai Rakan Media, dan PARKROYAL COLLECTION Kuala Lumpur sebagai Hotel Rasmi.

All Star Premier Legends juga menampilkan bintang-bintang paling terkenal dari Liga Perdana Inggeris yang akan berentap dengan All Star World Legends dan barisan legenda antarabangsa yang memukau kelab-kelab terbesar dunia.
"Para pemain tersohor ini menjanjikan perlawanan pameran yang penuh bertenaga dan akan memfokuskan peminat serta menghidupkan kembali detik-detik terunggul perlawanan bola sepak di Kuala Lumpur," ujar AllStar Sports.
Turut hadir bersama pada sidang media hari ini ialah Pengarah Projek AllStar Sports, Steven Windsor, Pengarah World Football Legends (WFL), Ian Holahan, bersama barisan penaja serta rakan media.

Menerusi ucapan dari Pengarah Projek AllStar Sports, Steven Windsor, beliau berkata sukan sentiasa menjadi jambatan yang menghubungkan komuniti dan bola sepak pula berada di tempat istimewa di hati orang ramai.
"Acara seperti ini bukan sahaja meraikan para pemain, malah turut meraikan peminat yang menjadikan bola sepak cukup istimewa melalui semangat dan cinta mereka terhadap sukan ini," ujarnya.

Tambahnya lagi, permainan bola sepak juga mengingatkan kita walaupun dunia berpecah-belah, namun detik-detik seperti ini mampu menghidupkan keharmonian, perasaan saling menghormati dan harapan keamanan yang berkekalan.
Bahkan pemain tengah bola sepak legenda England dan bekas kapten Liverpool FC, Steven Gerrard, turut menekankan keunikan All Star Legends sambil menyatakan keterujaan beliau terhadap sesi bertemu peminat serta perlawanan yang bakal berlangsung.
"Dengan persiapan yang sedang giat dijalankan, kami sudah tidak sabar untuk memberikan perlawanan yang menarik dan luar biasa buat para penyokong," tambahnya.

Selain itu, penganjur turut menyuarakan sentimen yang sama, sambil menambah bahawa acara ini dijangka menarik kehadiran yang memberangsangkan serta mewujudkan suasana yang meriah, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai salah satu acara utama dalam takwim sukan tempatan.
Menurut Steven lagi, pasukan All Star Premier Legends dan All Star World Legends adalah dua pasukan yang benar-benar mencerminkan semangat permainan ini.
Tenaga, bakat dan semangat juang mereka menjadikan pertembungan ini seimbang manakala para peminat bakal menyaksikan satu perlawanan yang mendebarkan serta sukar dilupakan.
"Kami percaya padanan ini bukan sahaja akan mempamerkan permainan bola sepak berkualiti tinggi, malah turut mewujudkan suasana yang menarik dan penuh kehangatan untuk semua yang hadir,” tambahnya.
Dalam pada itu, pemain yang diumumkan bagi kedua-dua pasukan ini termasuk Jaap Stam, Eidur Gudjohsen dan Ian Harte yang mewakili All Star Premier Legends, manakala All Star World Legends pula akan menampilkan bintang antarabangsa seperti Dida, Javier Saviola dan Maicon.
"Para peminat boleh menantikan gabungan kemahiran legenda, detik-detik yang tidak dapat dilupakan, serta barisan pemain bertaraf dunia di atas padang," tambah AllStar Sports lagi.
Barisan penuh pemain bersama maklumat berkaitan tiket acara akan diumumkan menjelang tarikh perlawanan.
Selain itu, barangan rasmi acara juga akan tersedia untuk pembelian secara dalam talian untuk memberi peluang kepada peminat mengabadikan kenangan istimewa ini.
Peminat dari seluruh negara diseru untuk memberi sokongan kepada All Star Premier Legends dan All Star World Legends yang akan menggegarkan padang.
Dengan slogan “Rise Above All,” AllStar Sports terus menyatukan para peminat bola sepak untuk meraikan semangat berpasukan, kebanggaan, dan kecintaan bersama terhadap sukan ini.
Untuk maklumat lanjut tentang All Star Legends, sila layari laman Facebook AllStar Sports di https://rb.gy/0wliq0.