Gempa bumi berukuran magnitud 7.2 melanda wilayah Kabupaten Maluku Barat Daya, Provinsi Maluku, Indonesia pada Sabtu, lapor Kompas.
Menurut laporan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), gempa bumi yang berlaku pada jam 4.42 petang waktu Indonesia Barat (WIB) itu berpusat pada koordinat 7.88 darjah latitud selatan dan 127.51 darjah longitud timur.
Pusat gempa bumi tersebut terletak di laut, kira-kira 43 kilometer ke barat laut Maluku Barat Daya, pada kedalaman 125 kilometer.
Berdasarkan hasil analisis BMKG, gempa bumi tersebut tidak berpotensi mencetuskan tsunami.
Bagaimanapun, BMKG menasihatkan orang ramai supaya terus berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya gempa bumi susulan.
Setakat laporan ini diterbitkan, kesan akibat gempa bumi tersebut serta kawasan yang merasai gegaran masih belum diketahui.
