Bila sebut tentang gempa bumi, Vanuatu menjadi antara negara yang terlintas di fikiran ramai kerana kedudukannya yang terletak di Kawasan Lingkaran Api Pasifik (Ring of Fire), iaitu zon yang aktif dengan aktiviti gempa bumi dan letusan gunung berapi.
Menurut laporan Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2014, Vanuatu dianggap sebagai negara yang paling berisiko di dunia terhadap bahaya alam semula jadi.
Walau bagaimanapun, di sebalik imejnya yang sering dikaitkan dengan ancaman bencana alam, Vanuatu sebenarnya menyimpan pelbagai keunikan yang jarang diketahui ramai.
Daripada pernah dinobatkan sebagai antara negara paling bahagia di dunia hinggalah memiliki pejabat pos di bawah laut, negara kecil ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.
Mari kita telusuri beberapa fakta menarik mengenai Vanuatu di bawah ini.
Kenali negara Vanuatu
Republik Vanuatu ialah sebuah negara kepulauan yang terletak di Lautan Pasifik Selatan, kira-kira 1,750 kilometer di sebelah timur Australia dan 500 kilometer di timur laut New Caledonia.
Negara ini turut terletak di sebelah barat Fiji dan di selatan Kepulauan Solomon.
Vanuatu terdiri daripada kira-kira 83 buah pulau dengan Port Vila yang terletak di Pulau Efate sebagai ibu negaranya.
Berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Vanuatu 2020, negara itu mempunyai seramai 300,019 penduduk, dengan sebahagian besarnya menetap di kawasan luar bandar.
Majoriti penduduk Vanuatu terdiri daripada masyarakat pribumi Melanesia yang dikenali sebagai Ni-Vanuatu.
Selebihnya merangkumi masyarakat berketurunan Eropah, Asia serta penduduk dari kepulauan Pasifik yang lain.
Selain itu, beberapa pulau di Vanuatu turut menjadi kawasan penempatan masyarakat Polinesia yang tinggal di luar kawasan utama Polinesia.

Sejarah Vanuatu
Sejarah penempatan manusia di Vanuatu sebenarnya bermula sejak ribuan tahun dahulu. Bukti arkeologi menunjukkan kepulauan ini telah didiami manusia sejak kira-kira 2000 Sebelum Masihi (SM).
Pada tahun 1605, penjelajah Portugis, Pedro Fernández de Quirós memulakan ekspedisi mencari benua Terra Australis sebelum tiba di kepulauan Vanuatu pada Mei 1606, sekali gus menjadi antara orang Eropah pertama yang menerokai kawasan tersebut.
Kemudian, pada 1774, penjelajah British, James Cook tiba di kepulauan berkenaan ketika pelayaran keduanya sebelum menamakannya sebagai New Hebrides.
Pada 1887, kepulauan itu mula ditadbir oleh sebuah suruhanjaya tentera laut bersama British dan Perancis.
Kedua-dua negara kemudiannya bersetuju untuk mentadbir New Hebrides secara bersama pada 1906 menerusi sistem pemerintahan yang dikenali sebagai Anglo-French Condominium.
Semasa Perang Dunia Kedua, pulau Efate dan Espiritu Santo digunakan sebagai pangkalan tentera Bersekutu.
Menjelang 1960-an, masyarakat Ni-Vanuatu mula memperjuangkan pemerintahan sendiri serta kemerdekaan daripada kuasa penjajah.
Selepas melalui pelbagai perkembangan politik, Vanuatu akhirnya mencapai kemerdekaan penuh pada 30 Julai 1980.
Negara itu kemudiannya menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1981 dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali pada 1983.
Pernah dinobat negara paling bahagia
Walaupun sering berdepan dengan ancaman bencana alam, siapa sangka Vanuatu pernah menduduki kedudukan tertinggi dalam Indeks Planet Bahagia (Happy Planet Index).
Berdasarkan indeks berkenaan, Vanuatu berada di kedudukan keempat pada 2017 sebelum menduduki tempat pertama berdasarkan data 2021.
Bagaimanapun, indeks tersebut bukan sekadar mengukur tahap kebahagiaan penduduk, sebaliknya turut mengambil kira aspek kesejahteraan hidup, jangka hayat dan kesan terhadap alam sekitar.
Salah satu keunikan kehidupan masyarakat Vanuatu ialah hubungan erat mereka dengan tanah, alam sekitar dan tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun.
Sejak mencapai kemerdekaan pada 1980, negara itu mengekalkan sistem pemilikan tanah berasaskan adat yang mengiktiraf hak masyarakat pribumi Ni-Vanuatu.

Menurut Perlembagaan Vanuatu, tanah merupakan hak pemilik adat pribumi dan keturunan mereka, manakala pemilikan kekal tanah hanya diperuntukkan kepada warga pribumi yang memperoleh tanah melalui sistem pemilikan yang diiktiraf.
Bagi masyarakat tempatan, tanah bukan sekadar aset ekonomi, tetapi turut memainkan peranan penting dalam kehidupan, identiti dan warisan budaya mereka.
Malah, berdasarkan laporan BBC, hubungan erat masyarakat Vanuatu dengan tradisi serta persekitaran semula jadi menjadi antara faktor yang dikaitkan dengan kesejahteraan hidup penduduknya.
Kepelbagaian bahasa yang luar biasa
Walaupun mempunyai jumlah penduduk yang agak kecil, Vanuatu merupakan antara negara yang mempunyai kepelbagaian bahasa yang luar biasa.
Dengan lebih 100 bahasa tempatan yang dituturkan oleh penduduknya di seluruh kepulauan, negara ini terkenal dengan kepadatan bahasa yang sangat tinggi berbanding jumlah penduduk.
Bahasa-bahasa tempatan tersebut merupakan sebahagian daripada warisan budaya dan identiti masyarakat Ni-Vanuatu.
Keunikan ini turut mendapat pengiktirafan dalam Perlembagaan Republik Vanuatu.
Menurut Perkara 3(1) Perlembagaan, Vanuatu mempunyai tiga bahasa rasmi, iaitu Bislama, bahasa Inggeris dan bahasa Perancis.
Sementara itu, Perkara 3(2) mengiktiraf bahasa-bahasa tempatan sebagai sebahagian daripada warisan negara yang perlu dipelihara.
Kepelbagaian bahasa ini memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat Vanuatu, termasuk dalam pendidikan, kebudayaan, urusan kerajaan dan komunikasi harian.
Bagi memastikan warisan bahasa terus dipelihara, dasar bahasa kebangsaan turut diwujudkan sebagai panduan kepada kerajaan serta pihak berkepentingan dalam mengurus penggunaan dan pembangunan bahasa di negara berkenaan.
Pejabat pos bawah laut pertama dunia

Salah satu tarikan utama di Vanuatu ialah pejabat pos bawah laut yang terletak beberapa meter dari pesisir Hideway Island dan dikatakan satu-satunya negara yang mempunyai pejabat pos di bawah laut.
Pengunjung boleh membeli kad pos bersalut plastik di kawasan tersebut dan memasukkannya ke dalam peti surat yang terletak pada kedalaman tiga meter di bawah permukaan laut.
Kad pos tersebut dikutip sekali sehari, menjadikan perkhidmatan ini benar-benar beroperasi.
Selain itu, pengunjung boleh menyewa kayak untuk menyusuri terumbu karang atau merentasi teluk yang terbentang sejauh beberapa kilometer.
Ketika ait surut, beberapa pulau kecil berpasir akan muncul dan pengunjung boleh singgah untuk menikmati aktiviti berenang dalam suasana yang tenang.
Negara kecil dengan keunikan ular biasa
Vanuatu bukan sekadar sebuah negara yang sering kali berdepan dengan risiko bencana alam, malah turut memiliki keunikan dari segi budaya, kepelbagaian bahasa dan tarikan pelancongan yang menarik.
Kehidupan masyarakat Ni-Vanuatu yang erat dengan tradisi turut memperlihatkan kekayaan warisan yang masih dipelihara hingga kini.
Keunikan yang dimiliki Vanuatu ini menjadikan negara ini sebuah kawasan yang sesuai untuk dijadikan destinasi yang istimewa dan wajar untuk diterokai oleh masyarakat dunia.



