Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Tiada Rendang Yang Tidak Sedap”, Pakar Kulinari Indonesia Ulas Perbezaan Rendang Malaysia Dan Indonesia

rendang
Kredit: Gastronusa

Perbezaan cara penyediaan rendang antara Malaysia dan Indonesia sering menjadi perbualan, malah ada kalanya mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat kedua dua negara.

Namun, seorang tokoh kulinari Indonesia, William W. Wongso berpandangan perbezaan tersebut bukanlah sesuatu yang perlu dipertikaikan kerana setiap negara mempunyai cita rasa dan versi rendang tersendiri.

William W. Wongso

Menerusi satu sesi temu bual di Rasa Nusa, sebahagian daripada acara Wonderful Indonesia Gastronomy yang berlangsung di InterContinental Bali Resort, William berkongsi pandangannya mengenai perdebatan rendang antara Malaysia dan Indonesia.

Menurutnya, rendang yang disediakan di Malaysia mempunyai profil rasa tersendiri dan berbeza daripada rendang Indonesia.

Beliau menjelaskan, walaupun asal usul rendang mungkin berkait dengan masyarakat Minangkabau, hidangan itu mengalami perubahan selepas tersebar ke pelbagai tempat dan dipengaruhi budaya serta bahan masakan tempatan.

Rendang Indonesia dan Malaysia. Kredit: women.okezone

Katanya, Malaysia mempunyai pelbagai versi rendang mengikut negeri, termasuk Melaka dan Negeri Sembilan, selain hidangan seumpamanya turut menjadi sebahagian daripada tradisi makanan di Brunei dan Singapura.

Lebih menarik, William turut berkongsi pengalamannya melihat cef terkenal Malaysia, Chef Wan menyediakan rendang ayam menggunakan gula sehingga menghasilkan warna merah yang berbeza daripada rendang yang biasa dikenalinya.

Beliau berkata, daripada sudut pandangannya, warna dan penggunaan bahan dalam rendang tersebut mungkin mengingatkannya kepada hidangan lain, namun ia tidak bermakna cara penyediaan itu salah.

William turut menjelaskan bahawa pengaruh budaya Peranakan, termasuk latar belakang keluarga, boleh menghasilkan tafsiran tersendiri terhadap sesuatu hidangan tradisional.

“Siapa yang salah? Tiada yang salah,” katanya ketika mengulas perbezaan cara penyediaan rendang.

Malah, beliau memetik pandangan seorang wanita yang terkenal menghasilkan rendang di Sumatera Barat bahawa tiada rendang yang tidak sedap kerana setiap orang mempunyai pilihan dan cita rasa masing masing.

Dalam perkongsian itu, William turut menyentuh bagaimana penggunaan bahan tambahan seperti kentang dan kacang merah dalam rendang mempunyai kaitan dengan cara masyarakat terdahulu menyediakan makanan untuk keluarga.

Jelasnya, bahan tambahan digunakan bagi memastikan hidangan mencukupi untuk dinikmati seluruh ahli keluarga, terutama apabila perlu menyediakan makanan dalam kuantiti yang banyak.

Bagi William, perkara paling penting ialah rasa rendang itu sendiri masih dikekalkan walaupun terdapat perbezaan dari segi bahan dan cara penyediaan.

Perkongsian tersebut membawa satu mesej positif bahawa kepelbagaian versi rendang tidak seharusnya menjadi punca perselisihan, sebaliknya boleh diraikan sebagai sebahagian daripada kekayaan warisan kulinari serantau.

Sumber:Facebook
Intipati
  • William W. Wongso berkata perbezaan rendang Malaysia dan Indonesia tidak perlu dipertikaikan.
  • Beliau menjelaskan rendang berubah selepas tersebar dan dipengaruhi budaya serta bahan tempatan.
  • William berpandangan kepelbagaian versi rendang wajar diraikan sebagai warisan kulinari serantau.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan