Tidak dinafikan, tinggal di Malaysia memang menjadi impian ramai orang, terutamanya dari luar negara.
Ramai yang melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang bukan sahaja indah dan aman. Malah juga teratur, selesa serta prihatin terhadap rakyatnya.
Dari kemudahan awam yang mesra pengguna, sistem pendidikan yang tersusun, hinggalah kepada program bantuan kerajaan yang menyentuh semua lapisan masyarakat.
Semuanya menjadikan Malaysia sebuah negara yang bukan sekadar maju, tapi juga berjiwa rakyat.
Bagaimanapun, setiap negara mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.
Walaupun kehidupan di negara orang menawarkan pelbagai kemudahan, pastinya ada perkara di tanah air yang tetap dirindui.
Itulah yang dikongsikan seorang lelaki Indonesia apabila membandingkan pengalamannya berada di Malaysia dengan kehidupan di negara asalnya.
Menurut lelaki tersebut, dia sering ditanya negara mana yang lebih selesa untuk didiami, sama ada Indonesia atau Malaysia.
Malaysia Dalam Kelasnya Tersendiri - Lelaki Indonesia
Dia mengakui Malaysia mempunyai pelbagai kelebihan, malah menyifatkan negara ini sebagai maju, bersih, teratur dan berdisiplin.
Namun, sebagai rakyat Indonesia, ada lima perkara di tanah air yang menurutnya sangat dirindui sepanjang berada di Malaysia.
5 Hal Yang Malaysia 'Gak Punya'

1. Kepelbagaian makanan Indonesia
Perkara pertama yang disebutnya ialah makanan, khususnya pilihan hidangan dari pelbagai daerah di Indonesia.
Dia memberikan contoh bubur ayam, lontong sayur dan nasi uduk yang boleh dinikmati di Jakarta, selain rendang dari Padang, sate Madura serta gudeg di Yogyakarta.
“Satu negara, tetapi rasa makanannya seperti 34 negara digabungkan,” katanya menggambarkan kepelbagaian cita rasa di tanah airnya.
Dia tidak menafikan hidangan popular di Malaysia seperti roti canai, nasi lemak dan nasi kandar terasa nikmat, namun lelaki itu mengakui tetap merindui makanan yang dekat dengan seleranya.
2. Bahasa yang menghubungkan masyarakat
Bagi perkara kedua, lelaki tersebut menyentuh peranan bahasa Indonesia dalam memudahkan komunikasi antara masyarakat daripada pelbagai suku dan wilayah.
Menurutnya, penggunaan bahasa yang sama membolehkan orang Batak, Jawa dan Bugis berkomunikasi serta bergurau dengan mudah.
“Dari Sabang sampai Merauke, kita semua memahami bahasa Indonesia,” katanya.
Dia turut membandingkannya dengan kepelbagaian bahasa yang digunakan di Malaysia, yang menurutnya ada kalanya menimbulkan kesukaran untuk saling memahami ketika berbual.
Baginya, bahasa Indonesia memberikan rasa kebersamaan walaupun seseorang itu datang dari pulau atau latar budaya yang berbeza.
3. Hiburan yang dekat dengan kehidupan rakyat

Selain makanan dan bahasa, lelaki itu turut merindui suasana hiburan di Indonesia. Antara yang disebutnya ialah muzik dangdut, sinetron dan persembahan wayang.
Menurutnya, hiburan di negara asalnya begitu dekat dengan kehidupan seharian masyarakat, termasuk di kawasan kampung.
“Di Indonesia, hiburan itu ada di kampung, di jalan dan di hati rakyat,” ujarnya.
4. Perbelanjaan harian dan sewa tempat tinggal
Lelaki tersebut kemudian berkongsi pandangannya mengenai kos sara hidup berdasarkan pengalaman sendiri.
Dia mendakwa perbelanjaan untuk dua orang melepak di kedai boleh mencecah RM30, sedangkan jumlah yang sama menurutnya boleh digunakan untuk menyediakan makanan buat sekeluarga di Indonesia.
Dari segi tempat tinggal pula, dia menyebut sewa sebuah bilik kecil di Malaysia sekitar RM400 sebulan.
Sebagai perbandingan, katanya, wang sebanyak satu juta rupiah sudah membolehkannya menyewa sebuah rumah kecil di kampung halamannya.
“Gaji di Malaysia memang besar, tetapi kos hidup juga besar,” katanya.
Baginya, nilai wang untuk perbelanjaan harian masih terasa lebih besar apabila berada di tempat asalnya.
5. Kemesraan dan hubungan sesama jiran
Perkara terakhir, yang disifatkannya paling penting, ialah hubungan kejiranan dan semangat saling membantu.
Dia menggambarkan jiran di Indonesia seperti saudara sendiri, dengan amalan berkongsi makanan serta bergotong-royong membantu mereka yang dalam kesusahan.
“Ada yang memasak, jiran-jiran turut mendapat bahagian. Ada yang susah, satu kampung bergotong-royong membantu.
“Motosikal rosak di jalan, pasti ada yang berhenti untuk menolong,” katanya.
Menurut lelaki itu, kemesraan dan rasa kekeluargaan tersebut merupakan antara perkara yang paling dirinduinya apabila berada di luar negara.
Mengakui kelebihan Malaysia dari sudut gaji dan infrastruktur. Namun, makanan, budaya serta kebersamaan di Indonesia tetap mempunyai tempat istimewa di hatinya.
