Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kuala Lumpur : Pasukan dalam Liga Malaysia (Liga-M) dinasihatkan untuk tidak bergantung sepenuhnya kepada khidmat ejen dalam mendapatkan pemain import berkualiti pasukan masing-masing bagi menghadapi musim baharu Liga-M pada Februari depan.
Jurulatih berpengalaman, Ismail Zakaria berpandangan langkah itu bukan sahaja boleh menjimatkan kos yang harus dikeluarkan oleh pengurusan pasukan, malah ia juga membolehkan jurulatih pasukan berkenaan menilai sendiri kualiti terbaik yang dimiliki pemain import itu.
Mengambil contoh sewaktu mengendalikan kelab Sime Darby FC sebelum ini, Ismail mendedahkan beliau membuat pemantauan sendiri sehingga berjaya mengikat tiga pemain berkualiti iaitu Patrick Wleh Ronaldinho dari Liberia, Karlo Primorac (Croatia), dan Dilshod Sharofetdinov dari Uzbekistan ketika bersama wakil Lembah Klang itu dari 2010 hingga 2015.
”Pesanan saya jika ada pasukan mahu ambil langkah berjimat cermat dalam soal pengurusan kewangan pemain, mereka jangan terlalu bergantung kepada khidmat ejen,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.
”Semasa saya di Sime Darby dahulu, saya sendiri terbang ke Liberia serta melihat dengan mata sendiri aksi pemain-pemain di sana dan meluangkan masa 10 hari sebelum dapatkan Patrick, bukan sahaja kami bayar gajinya kurang US$ 7,000(RM28,650), tetapi dia juga merupakan pemain kebangsaan negaranya,” tambahnya.
Mengulas lanjut, Ismail mendedahkan beliau berada di Croatia selama lapan hari sebelum berjaya mendapatkan khidmat Primorac dengan nilai bayaran yang berpatutan selaras dengan kualiti yang dimiliki pemain berkenaan.
”Malah saya terus lakukan perbincangan secara terus di sana tanpa babitkan orang tengah dan keduanya, pilihan saya banyak, dan ini memudahkan saya boleh dapatkan betul-betul pemain berkualiti, jika guna khidmat ejen, pilihannya mungkin agak terhad serta mahal,” tegas Ismail.
Pada masa yang sama, bekas pengendali pasukan UiTM FC dan Kuantan FA itu turut menasihatkan jurulatih atau pengurusan setiap pasukan Liga-M supaya tidak terburu-buru dalam menandatangani mana-mana pemain import tanpa menilai sendiri prestasi pemain berkenaan.
Beliau turut mencadangkan agar jurulatih pasukan dalam Liga-M mengambil masa, dan terbang ke luar negara untuk mendapatkan pemain import yang memenuhi kriteria yang dicari.
Seterusnya beliau melahirkan kebimbangan bahawa pengurusan sesebuah pasukan bakal menanggung kerugian sekiranya menandatangani pemain import yang tidak berkualiti sepertimana yang menimpa beberapa pasukan Liga-M sebelum ini.
Sumber : Bernama