Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

'Biawak' Ada Paruh Burung Nuri, Macam Mustahil Tapi Haiwan Ini Pernah Wujud

Azizah Najib
dinosaur biawak paruh burung nuri
Gambar hiasan. Kredit: Bernama

'Biawak' Ada Paruh Burung Nuri, Macam Mustahil Tapi Haiwan Ini Pernah Wujud

Biawak merupakan antara reptilia yang masih wujud hingga hari ini. Haiwan ini biasanya mempunyai badan panjang, berkaki empat dan ekor yang berotot.

Kulitnya pula bersisik tebal, manakala kepalanya berbentuk tirus dengan rahang yang kuat.

Kebanyakan spesies ini memakan haiwan kecil seperti ikan, serangga dan mamalia kecil. Dengan bentuk badannya yang memanjang, haiwan ini cekap bergerak di darat dan air.

Di Malaysia, biawak sering dilihat di kawasan paya, sungai atau hutan. Kadangkala, haiwan ini turut muncul di kawasan perumahan sehingga menyebabkan kekecohan.

Kredit: Bernama

Bagi yang jarang bertembung dengan haiwan ini, saiznya yang boleh mencecah lebih satu meter berpotensi membuatkan sesiapa sahaja kecut perut apabila terserempak secara tiba-tiba.

Namun, pernah tak anda bayangkan jika ada haiwan yang rupanya hampir seperti biawak, tetapi mempunyai paruh seperti burung nuri?

Kedengaran pelik, namun itulah rupa sebenar satu spesies reptilia purba yang pernah hidup di Bumi. Penemuan ini menarik perhatian saintis kerana fosil tersebut dipercayai berusia kira-kira 230 juta tahun.

Tempoh tersebut merupakan zaman awal kemunculan dinosaur. Ketika itu, dunia masih jauh berbeza daripada hari ini.

Pernah tak anda terfikir bagaimana rupa haiwan purba yang hidup sebelum dinosaur berkembang pesat?

Kali ini, min akan kongsikan dengan korang fakta menarik tentang reptilia unik ini.

Hidup pada zaman Triassic, fosil Isodapedon varzealis ditemui

Imej seekor rhynchosaur daripada spesies Isodapedon varzealis dalam landskap sekitar 230 juta tahun lalu. Ilustrasi oleh Caio Fantini. Kredit: UFSM

Baru-baru ini, saintis menemui satu fosil reptilia purba yang cukup unik. Fosil ini mempunyai bentuk paruh yang menyerupai burung nuri.

Penemuan ini menarik perhatian kerana usianya mencecah ratusan juta tahun.

Menurut kajian terbaharu, spesies baharu ini dinamakan Isodapedon varzealis, ditemui di kawasan Agudo, Brazil. Kawasan tersebut terkenal sebagai lokasi yang banyak penemuan fosil purba.

Kajian yang diterbitkan pada April 2026 melaporkan bahawa fosil tengkorak spesies ini berusia kira-kira 230 juta tahun.

Fosil tersebut ditemui di sebuah tapak fosil dalam kawasan UNESCO Global Geopark Quarta Colônia yang sebelum ini juga pernah menemukan fosil dinosaur antara yang paling awal di dunia.

Menariknya, hanya sebahagian tengkorak reptilia ini ditemui.

Namun, saintis masih mampu mengenal pasti bahawa ia merupakan spesies baharu berikutan bentuk tulang dan susunan gigi berbeza daripada spesies lain yang diketahui.

Kajian mengenai fosil spesies rhynchosaur baharu ini dijalankan sebagai sebahagian daripada tesis sarjana Jeung Hee Schiefelbein. Kredit: Rodrigo Temp Müller/UFSM

Ada paruh macam burung nuri

Salah satu ciri paling unik pada spesies ini ialah bentuk paruhnya. Tengkorak spesies ini berbentuk lebar dan segi tiga dengan hujung yang tajam seperti paruh burung nuri.

Dipercayai, paruh ini membantu haiwan tersebut memotong tumbuhan dan mungkin juga digunakan untuk menggali tanah bagi mencari akar dan ubi.

Spesies ini tergolong dalam kumpulan rhynchosaur, merupakan reptilia berkaki empat dan memakan tumbuhan.

Haiwan ini juga mempunyai barisan gigi kecil yang boleh digunakan untuk menghancurkan tumbuhan.

Berdasarkan saiz tengkorak, fosil yang ditemui dianggarkan mempunyai panjang antara 1.2 hingga 1.5 meter. Ilustrasi haiwan ketika hidup oleh Caio Fantini. Kredit: UFSM

Saiz lebih kurang seekor biawak besar

Berdasarkan saiz tengkorak, saintis menganggarkan panjang haiwan ini sekitar satu meter setengah. Namun, terdapat kemungkinan spesies ini boleh menjadi lebih besar sehingga kira-kira tiga meter panjang.

Saiz ini menjadikannya agak besar untuk haiwan pemakan tumbuhan ketika itu.

Pada zaman tersebut, spesies ini berperanan sebagai pengguna utama dalam ekosistem. Terdapat juga kemungkinan spesies ini menjadi mangsa kepada reptilia yang lebih besar.

Antara pemangsa termasuk nenek moyang buaya dan dinosaur zaman awal.

Bukti dunia dahulu pernah bersambung

Uniknya, penemuan ini menunjukkan spesies 'biawak' ini mempunyai kaitan dengan spesies dari Scotland.

Kredit: NASA/USGS

Perkara ini mungkin kedengaran pelik pada awalnya. Namun, sekitar 230 juta tahun lalu, semua benua pernah bersatu menjadi satu daratan besar.

Digelar superbenua, daratan itu dikenali sebagai Pangea. Keadaan ini membolehkan haiwan bergerak merentasi kawasan yang luas.

Disebabkan itu, spesies di Amerika Selatan boleh mempunyai kaitan dengan spesies di Eropah.

Tambah senarai spesies purba yang dikenali

Penemuan Isodapedon varzealis menjadikan jumlah spesies rhynchosaur di Brazil meningkat kepada enam spesies.

Bagaimanapun, tidak semua spesies ini hidup pada masa yang sama. Sesetengah daripadanya hidup berjuta-juta tahun berbeza antara satu sama lain.

Kepelbagaian spesies ini menunjukkan bahawa kumpulan rhynchosaur sangat penting dalam ekosistem purba.

Kumpulan ini memainkan peranan besar ketika zaman awal kemunculan dinosaur.

Fakta yang menarik.