Sejarah tercipta sekali lagi apabila perlumbaan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix dianjurkan di Malaysia.
Selepas sembilan tahun Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tidak menjadi gelanggang perlumbaan F1, kemunculan semula jentera-jentera berprestasi tinggi itu pastinya cukup untuk mengubat kerinduan peminat sukan permotoran tanah air.
Lebih menarik, kebanyakan pelumba juga sebenarnya ternanti-nanti untuk beraksi di SIC kerana ia dikenali sebagai salah satu litar yang mencabar.
Namun, di sebalik deruman enjin dan kesibukan setiap pasukan membuat persediaan menjelang perlumbaan, sorakan serta kemeriahan penyokong turut mencuri perhatian.
Jurugambar F1 Kongsi Harga Makanan
Dalam pada itu, pasti ramai yang tertanya-tanya mengenai makanan yang dijual di sekitar litar sepanjang perlumbaan berlangsung. Persoalannya, berapakah harga yang perlu dibayar?
Semalam, seorang jurugambar F1, Kym Illman berkongsi satu video di Instagram miliknya yang memaparkan pilihan serta harga makanan yang dijual di lokasi berkenaan.
“Berapa harga makanan dan minuman yang perlu dibayar ketika menyaksikan Bahrain Grand Prix di Malaysia?,” katanya di kapsyen video itu.
Menerusi video tersebut, Kym menunjukkan beberapa pilihan makanan dan minuman yang dijual di sekitar litar.
“Antara makanan kegemaran rakyat Malaysia semestinya nasi lemak. Di sini, anda boleh mendapatkannya dengan harga RM25.
“Bagi penggemar hot dog pula, dua hot dog bersama satu minuman dijual pada harga RM44. Chicken popcorn pula RM25,” katanya.

Menurut Kym, mi goreng dijual pada harga RM17, kebab RM35, manakala lima ketul ayam KFC bersama satu minuman berharga RM52.
Beliau turut menunjukkan barisan panjang pengunjung yang mahu mendapatkan air mineral.
“Ini barisan yang sangat panjang untuk membeli air dan anda perlu membayar RM4 untuk sebotol,” katanya.
Selain itu, piza bersaiz personal dijual pada harga RM27, manakala piza biasa pula RM54.
Bagi minuman pula, Kym memaklumkan secawan latte berharga RM16, manakala bir sejuk dijual pada harga RM22.
Menurutnya, kesemua gerai makanan tersebut terletak di kawasan antara dua grandstand utama.
Perlumbaan F1 itu dijadual berlangsung selama tiga hari, bermula 2 hingga 4 Oktober 2026.
