Cadillac mengesahkan Valtteri Bottas akan terus bersama pasukan itu bagi musim 2027, sekali gus menutup peluang Colton Herta membuat penampilan sulung dalam Formula 1 (F1) musim depan.
Bottas sebelum ini menandatangani kontrak beberapa tahun bersama Cadillac sebelum pasukan itu memulakan saingan F1 pada 2026, namun Cadillac masih perlu membuat keputusan sama ada mahu mengekalkannya untuk musim kedua.
Bottas melalui musim yang sukar apabila gagal menamatkan perlumbaan sebanyak sembilan kali, namun jumlah itu masih lebih rendah berbanding pelumba Aston Martin, Lance Stroll yang mencatatkan 13 kali.
Sebelum ini, kedudukan Bottas bersama Cadillac masih menjadi tanda tanya selepas pasukan itu mengumumkan kontrak baharu untuk beberapa tahun bersama Sergio Perez ketika berada di Mexico, tanpa menyebut kedudukan pelumba Finland tersebut.
Cadillac Kekalkan Valtteri Bottas Bagi F1 2027
Cadillac ketika itu turut mempertimbangkan beberapa calon lain, termasuk pelumba simpanan mereka, Colton Herta yang berpeluang mendapat tempat dalam pasukan utama untuk membuat penampilan sulung dalam F1.
Bagaimanapun, Cadillac akhirnya membuat keputusan untuk terus bersama Bottas bagi musim 2027, yang diumumkan menjelang perlumbaan di Las Vegas, iaitu perlumbaan ketiga mereka di tanah air sendiri musim ini.
Menurut Cadillac, mereka mahu mengekalkan barisan pelumba sedia ada bagi memastikan pasukan itu lebih stabil ketika masih berusaha mendapatkan mata pertama dalam saingan F1.
“Kepada sesiapa yang tertanya-tanya, saya masih kekal bersama pasukan! Saya teruja untuk meneruskan perjalanan bersama Cadillac bagi musim 2027.
“Kami memang tahu membina sebuah pasukan F1 baharu dari awal bukan perkara mudah, tetapi cabaran itulah yang menjadikan pengalaman ini begitu istimewa.
“Kami sudah mempunyai asas untuk dibangunkan, semakin banyak belajar dan memperbaiki kelemahan, tetapi perjalanan kami masih jauh dan banyak lagi yang boleh dicapai.
“Saya masih mahukan lebih banyak kejayaan dan percaya dengan apa yang sedang kami usahakan bersama. Kisah ini baru sahaja bermula,” kata Bottas.
Ketua Pegawai Eksekutif Cadillac, Dan Towriss pula berkata pengalaman, pandangan dan kesungguhan Bottas memberikan kelebihan kepada pasukan mereka.
“Kami dapat membina pasukan dengan lebih baik apabila barisan pelumba kekal sama, sekali gus membantu kami mencapai sasaran dalam saingan F1.
“Menjelang GP Las Vegas, seluruh warga pasukan gembira kerana Valtteri sudah mengesahkan tempatnya untuk musim 2027 bersama Checo.
“Kami tidak sabar untuk meneruskan perjalanan ini dan melihat apa yang bakal dicapai selepas ini,” ujarnya.
Cadillac turut memaklumkan bahawa mereka akan mengumumkan nama pelumba simpanan dan ujian apabila tiba masanya.
Dalam pada itu, senarai pelumba bagi musim F1 2027 hampir lengkap dengan hanya satu tempat dalam pasukan Haas masih belum mempunyai pemilik.
Tempat itu dijangka kekal milik Ollie Bearman, yang kini berlumba untuk Haas, selepas kedua-dua pihak selesai berbincang mengenai kontrak baharu.

