Bagi peminat sukan permotoran, Formula 1 (F1) bukan sekadar perlumbaan yang berlangsung di atas litar.
Setiap jentera, pasukan dan pelumba mempunyai kisah tersendiri yang menjadikan sukan berprestij itu terus mendapat perhatian peminat di seluruh dunia.
Tidak hairanlah, minat terhadap F1 turut diterjemahkan melalui pelbagai bentuk koleksi, termasuk pakaian, topi, model kereta, poster, barangan pasukan dan pelbagai cenderamata berkaitan dunia perlumbaan.
Ada yang mengumpul sekadar untuk kenangan, namun tidak kurang juga yang sanggup menyimpan koleksi selama bertahun-tahun kerana terlalu meminati F1.
Bagi sesetengah peminat, setiap barangan yang dikumpulkan bukan sekadar cenderamata, sebaliknya mempunyai cerita dan nilai sentimental tersendiri.
Koleksi barangan F1 yang pelbagai
Baru-baru ini, perkongsian seorang pengguna Threads, @itsallaboutme_10, mencuri perhatian ramai apabila berkongsi koleksi barangan Formula 1 (F1) milik ayahnya.
Menerusi perkongsian tersebut, dia menyifatkan ayahnya sebagai “True hardcore F1 fan” sambil mempamerkan pelbagai barangan berkaitan sukan berkenaan yang dikumpul sejak sekian lama.
Menariknya, terdapat satu dinding khas yang dipenuhi koleksi model kereta F1 milik ayahnya.
Bukan sekadar membeli rak untuk mempamerkan koleksi tersebut, ayahnya turut mereka dan mengubah suai sendiri rak berkenaan.

“Bukan satu ruang pameran, bukan dua. Teruskan melihat... teruskan,” katanya sambil menunjukkan deretan model kereta F1 yang memenuhi ruang tersebut.
Melihat koleksi yang semakin bertambah, dia sempat berseloroh, “Saya rasa ini yang terakhir. Harapnya.”

Namun, nampaknya koleksi tersebut masih belum berakhir apabila semakin banyak model kereta F1 terus memenuhi ruang berkenaan.
Antara yang menarik perhatian ialah sebuah model kereta lumba Mercedes yang dihadiahkan kepadanya.

Menurutnya, ayahnya begitu terpaku melihat logo Mercedes pada model tersebut sehingga dia membeli sebuah kotak pameran khas pada keesokan harinya.

“Pada tahap ini, saya sendiri sudah tidak tahu berapa banyak kereta yang ada,” katanya.
Bukan sekadar model kereta, ada yang lain
Bukan model kereta sahaja, koleksi ayahnya turut merangkumi pelbagai barangan F1 lain seperti jaket dan kasut.
Malah, terdapat sebuah laci yang dipenuhi dengan koleksi baju-T F1, selain himpunan topi yang tidak kurang menarik.




Sebagai tanda kasih kepada ayahnya yang begitu meminati F1, dia turut menghadiahkan sebuah helmet Charles Leclerc daripada LEGO.
Menariknya, helmet tersebut bukanlah hadiah yang boleh disiapkan dalam masa singkat kerana dia mengambil masa yang agak lama untuk memasangnya, semata-mata mahu memberikan sesuatu yang istimewa kepada ayahnya.

Walaupun sekadar sebuah binaan LEGO, usaha tersebut menjadikan hadiah berkenaan lebih bermakna buat seorang ayah yang mempunyai begitu banyak koleksi berkaitan F1.

