Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Xabi Alonso Dilantik Sebagai Pengurus Baharu Chelsea
Chelsea hari ini mengumumkan pelantikan Xabi Alonso sebagai pengurus baharu kelab itu menerusi kontrak selama empat tahun, dengan pengendali dari Sepanyol berkenaan diberi tanggungjawab untuk mengubah nasib pasukan tersebut, lapor AFP.
Chelsea tewas kepada Manchester City pada aksi final Piala FA semalam dan kini menghuni tangga kesembilan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan hanya berbaki dua perlawanan musim ini.
Manakala, Alonso pula mula mencuri perhatian sebagai antara jurulatih muda terbaik di Eropah selepas berjaya membimbing Bayer Leverkusen menjuarai liga dan piala domestik Jerman tanpa mengalami kekalahan pada musim 2023/24.
Bagaimanapun, pengendali dari Sepanyol itu hanya bertahan tujuh bulan bersama Real Madrid selepas dilantik tahun lalu sebelum meninggalkan kelab gergasi Sepanyol berkenaan pada Januari lalu.
"Chelsea dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Xabi Alonso sebagai pengurus pasukan lelaki kelab ini
"Jurulatih dari Sepanyol itu akan memulakan tugas pada 1 Julai 2026 selepas menandatangani kontrak selama empat tahun di Stamford Bridge," menurut kenyataan rasmi Chelsea.
Dalam pada itu, Alonso kini berdepan tugas sukar untuk mengembalikan Chelsea sebagai pencabar utama dalam perebutan trofi berprestij.
Chelsea sebelum ini memenangi Piala Dunia Kelab dan Liga Konferens UEFA tahun lalu, namun itu sahaja kejayaan besar yang diraih meskipun kelab berkenaan sudah membelanjakan dana besar untuk mendapatkan pemain sejak diambil alih konsortium Amerika Syarikat, BlueCo pada 2022 selepas berakhirnya era gemilang Roman Abramovich.
Kekalahan di Wembley semalam turut menyaksikan Chelsea kini lapan musim tanpa sebarang trofi domestik.