Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Final Piala Dunia Takraw Bertukar Kecoh, Penolong Pengurus Skuad Thailand 'Bersuara' Di Fb

Fazidi
takraw piala dunia thailand
Gambar: FB Top To Be, Live Final Piala Dunia Takraw

Final Piala Dunia Takraw Bertukar Kecoh, Penolong Pengurus Skuad Thailand 'Bersuara' Di Fb

Final sengit Piala Dunia Takraw Regu Berpasukan 2026 yang mempertemukan dua gergasi sukan itu, Malaysia dan Thailand bertukar menjadi satu kekecohan yang tidak mungkin akan dilupakan oleh peminat.

Menjelang mata-mata akhir set kedua dalam aksi regu ketiga, suasana tegang tercetus apabila pasukan Thailand menyuarakan bantahan dan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pengadil perlawanan, Radhi Che Mai.

Sebelum kekecohan timbul, pengadil dari Singapura itu membatalkan permainan selepas kaki pemain Thailand dilihat melepasi garisan bawah jaring, menghadiahkan mata kepada Malaysia yang membawa kepada kedua-dua pasukan terikat pada kedudukan mata 14-14.

Insiden itu mencetuskan bantahan keras dari Thailand, terutamanya selepas pembantu pengadil mengangkat plat dengan keputusan “Not Over”, sekaligus bertentangan dengan keputusan yang dibuat oleh pengadil utama.

Suasana panas berkenaan berlarutan hampir 15 minit dimana pasukan Thailand turut enggan kembali ke gelanggang dan meneruskan perlawanan.

Akibat daripada tindakan tersebut, kemenangan kemudian diberikan kepada Malaysia dan seterusnya diisytiharkan sebagai Juara Dunia Takraw Regu Berpasukan 2026.

Sementara itu, pengurus pasukan Thailand, Rattadech Noijaroen turut meluahkan kekecewaan dengan keputusan tersebut dan insiden yang berlaku malam tadi.

Menerusi laman Facebooknya, Top To Be, Noijaroen menegaskan pihaknya tidak menyalahkan mana-mana pemain Malaysia di atas apa yang berlaku.

“Kami menghormati semua peminat dan atlet Malaysia, kerana setiap pemain hanya mahukan peluang untuk berada di dalam gelanggang dan membuktikan potensi sebenar mereka.

“Apa yang berlaku malam tadi bukan salah mana-mana pemain. Walaupun ada masanya apa yang berlaku sukar diterima, kami masih menghormati keputusan tersebut dan terus melangkah ke depan.

“Pada akhirnya, apa yang kita semua mahukan adalah agar sukan sepak takraw ini terus berkembang bersama” katanya.

Hantaran yang dibuat oleh Noijaroen itu pantas menjadi viral dan menerima pelbagai maklum balas daripada warga maya, terutamanya oleh peminat-peminat sepak takraw.

Setakat ini, hantaran berkenaan sudah menerima lebih 4,700 reaksi dan lebih 800 komen serta dikongsi semula lebih 70 kali.

Sumber:Top To Be