Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

AS Tarik Diri Piala Dunia B-17 Di Qatar Atas Faktor Keselamatan

AS Tarik Diri Daripada Piala Dunia

Amerika Syarikat (AS) tarik diri daripada kejohanan Piala Dunia B-17 FIFA yang bakal berlangsung di Qatar, hanya seminggu sebelum kejohanan bermula, atas faktor keselamatan pemain dan pegawai pasukan.

Keputusan itu dimaklumkan kepada pemain menerusi sepucuk surat yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak AS (US Soccer), dengan badan berkenaan turut merujuk kepada amaran perjalanan yang dikeluarkan Jabatan Negara AS.

Menerusi amaran tersebut, rakyat AS dinasihatkan supaya mempertimbangkan semula perjalanan ke Qatar berikutan risiko konflik bersenjata, manakala kakitangan kerajaan perlu mendapatkan kebenaran khas sebelum berkunjung ke negara itu.

“Malangnya, berdasarkan keadaan semasa, kami tidak dapat meneruskan penyertaan dalam kejohanan ini. Keselamatan dan kesejahteraan pemain serta kakitangan akan sentiasa menjadi keutamaan kami.

“Kami amat menghargai komitmen anda terhadap US Soccer dan turut berkongsi rasa kecewa dengan keadaan yang berlaku,” menurut surat berkenaan.

Bagaimanapun, jurucakap US Soccer enggan mengulas lanjut mengenai pertimbangan yang membawa kepada keputusan tersebut.

FIFA telah dimaklumkan mengenai penarikan diri AS itu pada Rabu.

Mengikut peraturan FIFA, negara yang layak ke Piala Dunia B-17 diwajibkan menyertai kejohanan berkenaan atau berdepan tindakan denda.

Negara yang menarik diri dalam tempoh 30 hari sebelum kejohanan bermula boleh dikenakan denda sebanyak 20,000 franc Switzerland (kira-kira RM98,400).

AS Tarik Diri Daripada Piala Dunia B-17 Di Qatar

Dalam pada itu, perkembangan konflik di Timur Tengah turut memberi kesan kepada penganjuran beberapa acara sukan antarabangsa apabila ada kejohanan terpaksa ditangguhkan atau dibatalkan.

Antaranya, Piala Asia 2027 yang sepatutnya berlangsung di Arab Saudi pada Januari tahun depan ditangguhkan hampir setahun susulan konflik membabitkan negara itu dengan pemberontak Houthi serta perang Iran.

Terbaharu, Qatar turut menarik diri daripada menjadi tuan rumah perlawanan akhir Kejohanan Nations Championship Ragbi 2028 berikutan ketidaktentuan akibat konflik di rantau berkenaan.

Bagaimanapun, dua perlumbaan terakhir musim Formula Satu (F1) masih dijadualkan berlangsung di Timur Tengah, masing-masing di Qatar pada 29 November dan Abu Dhabi pada 6 Disember.

Pada Oktober lalu, serangan peluru berpandu kumpulan Houthi di lapangan terbang antarabangsa Riyadh mengorbankan 13 orang dan mencederakan ratusan yang lain.

Susulan serangan berterusan kumpulan itu, diplomat AS turut diarahkan meninggalkan Arab Saudi pada bulan sama.

Sementara itu, Qatar sebelum ini memainkan peranan sebagai orang tengah dalam rundingan antara AS dengan Iran bagi mencari jalan menamatkan konflik yang tercetus selepas serangan AS dan Israel terhadap Iran awal tahun ini.

Ketegangan di rantau berkenaan turut melibatkan serangan terhadap sebuah kapal tangki minyak di perairan pantai Qatar pada Oktober lalu.

Intipati
  • AS menarik diri daripada Piala Dunia B-17 FIFA di Qatar atas faktor keselamatan pasukan.
  • US Soccer merujuk amaran perjalanan Jabatan Negara AS mengenai risiko konflik bersenjata di Qatar.
  • Peraturan FIFA membolehkan denda 20,000 franc Switzerland terhadap negara menarik diri lewat.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan