Amerika Syarikat (AS) dilaporkan melancarkan serangan ke atas Pulau Qeshm, Iran, yang terletak di Selat Hormuz, menurut pegawai negara itu kepada CBS.
Agensi berita rasmi Iran, IRNA, turut melaporkan beberapa letupan kedengaran di pulau berkenaan pada Isnin.
Pegawai AS menyifatkan serangan itu sebagai tindakan terhad susulan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) melepaskan tembakan ke arah pesawat tentera Amerika.
Serangan tersebut berlaku menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS yang bakal menentukan penguasaan Parti Republikan atau Demokrat di Kongres.
AS Lancar Serangan Ke Atas Iran

Presiden Donald Trump kini berdepan kemerosotan sokongan dalam tinjauan pendapat serta tekanan daripada anggota partinya sendiri supaya menamatkan peperangan.
Konflik berkenaan tercetus selepas AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada Februari lalu, sekali gus mencetuskan ketegangan serantau.
Terdahulu pada Isnin, Trump memberitahu pemberita bahawa beliau tidak tergesa-gesa untuk meningkatkan skala serangan ketenteraan terhadap Iran.
Dalam temu bual bersama portal berita Axios, beliau berkata, “Sama ada satu cara atau sebaliknya, kita akan melakukan sesuatu, tetapi tidak perlu tergesa-gesa.”
“Kita sudah melumpuhkan mereka dari segi kewangan. Mereka tiada wang, tiada petrol dan rakyat mereka semakin bosan dengan keadaan ini,” katanya.
Dalam satu temu bual bersama Fox News menjelang pilihan raya tersebut, Trump turut menyatakan kemungkinan AS menyasarkan lokasi berkaitan program nuklear Iran.
Beliau merujuk kepada tapak dikenali sebagai Pickaxe dan menyifatkan operasi berkenaan bukan sesuatu yang besar, malah boleh diselesaikan dalam tempoh sejam.
Spekulasi mengenai kemungkinan AS kembali melancarkan serangan besar-besaran terhadap Iran semakin meningkat sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Bagaimanapun, ketika ditanya pemberita pada Isnin sama ada tindakan itu akan dilakukan selepas pilihan raya, Trump menjawab, “Tidak.”
Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi memberitahu IRNA bahawa rundingan intensif bagi menamatkan peperangan sedang berlangsung bersama AS melalui orang tengah.
Beliau turut menegaskan Tehran kini lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, sama ada melalui saluran diplomatik mahupun ketenteraan.
Menurutnya, keputusan kini terletak pada Washington untuk memilih jalan rundingan yang bijaksana atau mengulangi kesilapan melalui pencerobohan ketenteraan.

