Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

C Joseph Vijay Dilantik Sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu Baharu

Athirah
Vijay
Kredit: AFP

C Joseph Vijay Dilantik Sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu Baharu

Bintang filem terkenal India, C. Joseph Vijay secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu pada Ahad selepas parti pimpinannya berjaya membentuk gabungan kerajaan di negeri hab industri selatan India itu.

AFP melaporkan majlis angkat sumpah yang berlangsung di Chennai itu penuh debaran susulan cabaran dihadapi parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) dalam mendapatkan sokongan parti-parti kecil selepas pilihan raya negeri berakhir.

TVK yang ditubuhkan dua tahun lalu muncul sebagai parti terbesar apabila menguasai 108 daripada 234 kerusi Dewan Undangan Negeri Tamil Nadu.

Walaupun gagal memperoleh majoriti mudah, sokongan beberapa parti lain termasuk Congress membolehkan Vijay membentuk gabungan dengan kekuatan 120 kerusi sekali gus melayakkannya memegang jawatan tertinggi negeri itu.

Ribuan penyokong memenuhi Stadium Jawaharlal Nehru di Chennai sambil melaungkan “Mudhalvar”, yang membawa maksud Ketua Menteri dalam bahasa Tamil bagi meraikan detik bersejarah berkenaan.

“Saya bukan datang daripada keluarga politik ternama, saya hanya rakyat biasa,” kata Vijay yang kini berusia 51 tahun.

Beliau berkata, pentadbirannya akan memberi fokus kepada isu asas seperti pendidikan, bekalan catuan, penjagaan kesihatan, bekalan air bersih, jalan raya dan kemudahan pengangkutan awam.

Antara langkah awal kerajaan baharu itu termasuk usaha menurunkan kadar tarif elektrik serta memperkukuh keselamatan wanita.

Perdana Menteri India, Narendra Modi mengucapkan tahniah kepada Vijay

Perdana Menteri India, Narendra Modi turut mengucapkan tahniah kepada Vijay dan menyatakan komitmen kerajaan pusat untuk bekerjasama demi kepentingan rakyat Tamil Nadu.

Dilahirkan dalam keluarga beragama Kristian dan Hindu, Vijay memulakan karier seni sebagai pelakon kanak-kanak pada tahun 1984 sebelum muncul antara bintang terbesar industri filem Tamil.

Beliau turut dikenali dengan gelaran “Thalapathy” atau pemimpin, hasil pengaruh besar dan karismanya menerusi filem-filem pecah panggung yang sering mengetengahkan isu sosial serta nasib rakyat bawahan.

Tamil Nadu merupakan antara negeri terpenting dalam ekonomi India dengan pengeluaran pelbagai produk termasuk automotif, elektronik dan pusat pembuatan iPhone. Kemenangan TVK turut menamatkan dominasi parti-parti tradisional yang menguasai negeri itu sejak penghujung 1960-an.

Penganalisis politik berpandangan pengaruh besar Vijay dalam kalangan peminat serta sokongan generasi muda yang mahukan perubahan menjadi faktor utama kejayaan luar biasa parti berkenaan.

Walaupun pernah berdepan tragedi rempuhan semasa kempen pilihan raya pada September lalu yang meragut 40 nyawa, populariti Vijay dilihat terus kekal kukuh.

Sumber:AFP