Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

WCE Jangka Lebih 160,000 Kenderaan Sehari Sempena Deepavali

Menjelang sambutan Hari Deepavali pada Ahad, 8 November 2026, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) kini membuat persiapan bagi menghadapi peningkatan aliran trafik berikutan pergerakan orang ramai pulang ke kampung halaman dan menuju ke destinasi percutian sempena cuti hujung minggu panjang, termasuk cuti umum gantian pada Isnin, 9 November 2026 di negeri-negeri berkenaan.

Iklan

Jumlah trafik di sepanjang WCE dijangka melebihi 160,000 kenderaan sehari daripada keseluruhan 3.28 juta kenderaan mengikut unjuran LLM, yang akan menggunakan lebuh raya utama di seluruh negara pada hari-hari puncak perayaan, susulan peningkatan perjalanan antara negeri dan aktiviti percutian

sepanjang tempoh tersebut.

Seiring dengan sambutan tersebut, WCE turut menyambut baik pengumuman kerajaan berhubung pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus kepada kenderaan Kelas 1 yang layak pada 6 dan 7 November 2026, sebagai usaha membantu meringankan perbelanjaan perjalanan pengguna lebuh raya yang ingin meraikan perayaan bersama keluarga dan insan tersayang.

WCE telah bersedia sebagai tanda kesiapsiagaan operasi dengan memberi tumpuan kepada pengurusan trafik yang lebih teratur serta memastikan bantuan kepada pengguna lebuh raya dapat disalurkan dengan segera sepanjang tempoh cuti perayaan. Sebagai sebahagian daripada persiapan tersebut, kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang memerlukan penutupan lorong akan ditangguhkan sementara bermula 6 hingga 10 November 2026 kecuali bagi kerja-kerja pembaikan segera atau kecemasan yang memerlukan tindakan serta-merta.

Pasukan peronda lebuh raya dan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) akan berada dalam keadaan siap siaga sepanjang masa, dengan sokongan trak tunda yang ditempatkan di lokasi strategik bagi mempercepatkan bantuan sekiranya berlaku kerosakan kenderaan atau insiden trafik. Pemantauan dan penyelarasan tindakan secara berterusan turut diberi keutamaan bagi mengurangkan risiko kesesakan serta memastikan kelancaran pergerakan kenderaan di sepanjang lebuh raya.

Selain kesiapsiagaan operasi, WCE turut menggalakkan pengguna untuk memanfaatkan kemudahan digital yang disediakan bagi membantu perancangan perjalanan. Melalui aplikasi mudah alih WCE App, pengguna boleh mendapatkan maklumat trafik masa nyata, paparan CCTV, panduan laluan serta maklumat kemudahan lebuh raya termasuk stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV), tempat berteduh motosikal dan telefon kecemasan. Aplikasi ini turut dilengkapi ciri bantuan Kecerdasan Buatan (AI) bagi memudahkan pengguna mendapatkan maklumat perjalanan.

Pengguna juga boleh menikmati kemudahan pembayaran tol melalui sistem Touch 'n Go PayDirect yang tersedia di semua plaza tol WCE. Kemudahan ini membolehkan caj tol ditolak secara terus daripada baki e-dompet yang dipautkan kepada kad pengguna, sekali gus memudahkan urusan pembayaran terutamanya ketika jumlah trafik meningkat.

Bagi pengguna yang melakukan perjalanan jarak jauh, enam (6) kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di sepanjang WCE menyediakan kemudahan asas seperti ruang parkir, surau dan tandas. Kemudahan gerai makanan turut tersedia di lokasi terpilih termasuk R&R Sungai Nyior (arah utara dan selatan) serta R&R Bukit Kapar (arah utara). Selain itu, Hentian Sebelah di plaza-plaza tol turut menyediakan ruang persinggahan bagi membolehkan pengguna berehat sebelum meneruskan perjalanan.

Pengarah Urusan Lebuhraya WCE Lyndon Alfred Felix, menekankan bahawa kerjasama dan sikap bertanggungjawab dalam kalangan pengguna lebuh raya memainkan peranan penting bagi memastikan perjalanan yang lebih selamat sepanjang musim perayaan.

“Musim perayaan merupakan waktu yang bermakna untuk berkumpul bersama keluarga dan insan tersayang. Dengan peningkatan jumlah kenderaan yang dijangka di jalan raya, WCE komited untuk menyediakan perkhidmatan lebuh raya yang cekap di samping menggalakkan setiap pengguna memainkan peranan dalam memastikan keselamatan bersama.

“Pasukan operasi kami telah bersedia untuk menghadapi peningkatan trafik sepanjang tempoh ini. Namun begitu, keselamatan di jalan raya turut bergantung kepada sikap dan tindakan setiap pemandu. Justeru, kami menggalakkan pengguna agar merancang masa perjalanan, sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling serta mengamalkan sikap bertimbang rasa terhadap pengguna jalan raya yang lain.

“Bersempena dengan Pesta Cahaya ini, WCE ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh masyarakat Hindu yang meraikannya. Semoga sambutan kali ini membawa kegembiraan dan kesejahteraan, serta semua pengguna dapat menikmati perjalanan yang selamat menuju ke destinasi masing-masing,” katanya.

Dalam usaha menggalakkan perjalanan yang lebih selamat sepanjang musim perayaan, WCE turut mengingatkan pengguna lebuh raya agar mengambil langkah-langkah berikut:

  • Melakukan pemeriksaan asas kenderaan termasuk keadaan tayar, brek dan paras cecair sebelum memulakan perjalanan.

  • Mematuhi had laju yang ditetapkan serta mengekalkan jarak selamat antara kenderaan.

  • Memastikan semua penumpang memakai tali pinggang keledar dan menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) yang bersesuaian.

  • Menyemak baki kad Touch 'n Go dan e-dompet lebih awal bagi mengelakkan gangguan atau kelewatan transaksi di plaza tol.

  • Mengelakkan pemanduan ketika letih serta mendapatkan rehat secukupnya di R&R atau Hentian Sebelah yang disediakan.

  • Sentiasa bersabar, berwaspada terhadap keadaan jalan raya dan mematuhi arahan trafik sepanjang perjalanan.

Pengguna juga disarankan untuk menyemak keadaan trafik sebelum memulakan perjalanan serta mengikuti perkembangan terkini di sepanjang laluan yang ingin digunakan. Aplikasi mudah alih WCE boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store dan Apple App Store bagi mendapatkan maklumat perjalanan serta memantau keadaan trafik menerusi paparan CCTV secara langsung.