Kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari sempena sambutan Deepavali 2026
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan bahawa pelaksanaan diskaun itu bermula pada jam 12 tengah malam 6 November dan berakhir pada jam 11.59 malam 7 November.
Diskaun tol 50 peratus
“Kerajaan MADANI meneruskan inisiatif meringankan kos perjalanan rakyat, khususnya mereka yang merancang untuk pulang ke kampung halaman atau menziarahi keluarga sempena cuti perayaan.
“Sehubungan itu, kerajaan mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus daripada kadar tol biasa selama dua hari bersempena dengan sambutan perayaan Deepavali 2026.
“Pelaksanaan diskaun ini akan bermula pada jam 12.00 tengah malam (00:00:00), 6 November 2026 (Jumaat) dan berakhir pada jam 11:59:59 malam, 7 November 2026 (Sabtu),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, pemberian diskaun tol ini dianggarkan melibatkan bayaran pampasan sebanyak RM20.11 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat, yang akan ditanggung oleh kerajaan, tertakluk kepada pengesahan data trafik.
Diskaun tol itu melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol serta Kelas 2 bagi Jambatan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, diskaun dikecualikan di plaza tol sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang (TTK), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
“Keputusan ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memelihara kebajikan serta kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan, di samping memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
“Inisiatif ini diharap dapat membantu meringankan kos perjalanan rakyat, khususnya masyarakat beragama Hindu yang pulang ke kampung halaman atau menziarahi ahli keluarga bagi meraikan sambutan Deepavali, sekali gus memaknai semangat perayaan melalui hubungan kekeluargaan dan kebersamaan.
“Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan menyelaras pelaksanaan pemberian diskaun ini bersama-sama syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat bagi memastikan kelancaran pelaksanaan serta manfaatnya dapat dinikmati oleh pengguna lebuh raya yang layak,” ujarnya.
Tambahnya lagi, semua pengguna lebuh raya disarankan supaya memanfaatkan pemberian diskaun tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Pengguna juga dinasihatkan supaya memastikan baki kad Touch 'n Go atau eWallet mencukupi sebelum memulakan perjalanan, mematuhi had laju, menjaga jarak selamat antara kenderaan serta berehat secukupnya bagi mengelakkan keletihan ketika memandu.
Selain itu, pengguna digalakkan menyemak maklumat trafik semasa serta sebarang insiden di lebuh raya melalui saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi mendapatkan maklumat terkini dan merancang perjalanan dengan lebih teratur.

“Kerjasama semua pengguna jalan raya dalam mengamalkan pemanduan berhemah amat penting bagi memastikan perjalanan sepanjang musim perayaan ini berjalan lancar, selamat dan selesa.
“KKR mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali 2026 kepada seluruh masyarakat beragama Hindu.
“Semoga perayaan cahaya ini membawa sinar keba-hagiaan, kesejahteraan dan keharmonian kepada semua, di samping terus mem-perkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Utamakan kesela-matan dan semoga semua pengguna jalan raya selamat sampai ke destinasi,” katanya lagi.
