Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan kemudahan kuliah secara hibrid selama empat hari bagi siswa guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) sempena Deepavali tahun ini.
Menurutnya, inisiatif itu dilaksanakan khusus bagi siswa guru yang menuntut ilmu jauh dari kampung halaman.
“Anak-anak yang belajar jauh dari rumah tentu mahu pulang menyambut Deepavali bersama keluarga.
“Saya memahami hasrat ini, termasuk dalam kalangan siswa guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) yang menuntut ilmu jauh dari kampung halaman,” katanya.
Kuliah secara hibrid itu bermula dari 9 hingga 12 November bagi kumpulan A dan 10 hingga 13 November bagi Kumpulan B.
Kumpulan A melibatkan negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Manakala, kumpulan B pula membabitkan Perlis, Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Sabah.
“Melalui kemudahan ini, siswa guru yang pulang meraikan Deepavali masih boleh mengikuti kuliah secara dalam talian. IPG Kampus juga boleh memohon cuti tambahan dan cuti berganti sekiranya terdapat keperluan.
“Kita mahu memastikan pembelajaran terus berjalan dengan baik tanpa mengabaikan kepentingan masa bersama keluarga,” katanya lagi.
Fadhlina turut titip ucapan Deepavali buat siswa guru dan keluarga yang meraikannya
Dalam perkongsian yang sama, Fadhlina turut menzahirkan ucapan selamat hari Deepavali kepada seluruh siswa guru dan keluarga yang meraikannya.
“Semoga perayaan ini membawa cahaya kegembiraan, keharmonian dan kesejahteraan kepada semua,” katanya.

