Bayangkan anda menghantar satu mesej kepada sebuah kapal angkasa, tetapi perlu menunggu selama dua hari sebelum menerima balasan. Situasi itu bakal menjadi kenyataan bagi komunikasi antara Bumi dengan Voyager 1, sebuah prob angkasa milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).
Hampir 50 tahun selepas dilancarkan, Voyager 1 kini menghampiri satu pencapaian luar biasa apabila dijangka mencapai jarak sehari cahaya dari Bumi pada 18 November.
Pencapaian itu bermaksud isyarat radio memerlukan masa kira kira 24 jam untuk bergerak dari Bumi ke Voyager 1. Begitu juga perjalanan isyarat balasan dari prob berkenaan ke Bumi.
Secara keseluruhan, komunikasi pergi dan balik akan mengambil masa kira kira 48 jam atau dua hari.
Namun, perjalanan panjang itu bukan satu satunya cabaran yang perlu dihadapi NASA. Bekalan kuasa Voyager 1 semakin berkurangan, manakala beberapa masalah teknikal turut menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan misinya.
NASA Cari Cara Jimatkan Kuasa Voyager 1
Dalam usaha memastikan prob angkasa itu terus beroperasi, pasukan NASA berjaya melaksanakan satu projek penjimatan tenaga yang dikenali sebagai Big Bang pada September lalu.
Menerusi operasi tersebut, jurutera menggantikan tiga peranti pada Voyager 1 dengan peralatan alternatif yang menggunakan tenaga elektrik lebih rendah.
Proses rumit itu mengambil masa berbulan bulan untuk dirancang dan diselesaikan kira kira enam minggu selepas prosedur sama dilaksanakan terhadap Voyager 2.
Penambahbaikan berkenaan dijangka dapat memanjangkan tempoh operasi instrumen saintifik Voyager 1 supaya prob itu terus mengumpulkan maklumat berharga dari ruang antara bintang.
Untuk pengetahuan, kedua dua prob Voyager menggunakan sistem penjana termoelektrik radioisotop bagi menghasilkan tenaga elektrik.
Sistem tersebut menggunakan haba yang terhasil daripada pereputan radioaktif plutonium untuk menjana kuasa.
Bagaimanapun, proses pereputan itu menyebabkan keupayaan penjanaan tenaga semakin berkurangan dari semasa ke semasa. Kedua dua prob dilaporkan kehilangan kira kira empat watt kuasa setiap tahun.
Selepas hampir lima dekad berada di angkasa, keadaan itu menyebabkan jurutera NASA perlu menguruskan penggunaan tenaga dengan lebih teliti.
Beberapa peralatan yang tidak lagi diperlukan juga telah dimatikan secara berperingkat bagi memastikan misi berkenaan dapat diteruskan.
Dua Instrumen Saintifik Sudah Dimatikan
Kekurangan bekalan tenaga sebelum ini menyebabkan NASA terpaksa menyahaktifkan dua instrumen saintifik Voyager 1.
Ketika dilancarkan pada 1977, prob berkenaan membawa 10 instrumen untuk menjalankan pelbagai penyelidikan saintifik.
Sebahagian daripadanya dimatikan selepas Voyager menyelesaikan penerokaan planet planet luar, manakala beberapa instrumen lain terus beroperasi bagi mengkaji kawasan angkasa yang semakin jauh dari Bumi.
Antara kawasan yang dikaji ialah heliosfera luar, iaitu kawasan luas yang dipenuhi zarah dan medan magnet yang dihasilkan oleh Matahari.
Kedua dua prob Voyager kini telah melepasi sempadan heliosfera dan memasuki ruang antara bintang.
Malah, kedua duanya merupakan satu satunya kapal angkasa yang pernah mengkaji secara langsung persekitaran di luar heliosfera Matahari.
Keadaan itu menjadikan setiap instrumen yang masih berfungsi amat bernilai kerana belum ada misi lain yang mampu mengumpulkan maklumat dari kawasan sejauh itu.
Tanpa penambahbaikan melalui projek Big Bang, NASA berdepan kemungkinan perlu mematikan satu lagi instrumen Voyager 1 seawal musim panas 2027.
Komunikasi Terputus Selama 48 Jam
Di sebalik kejayaan menjimatkan tenaga, Voyager 1 turut berdepan satu insiden komunikasi yang mencetuskan kebimbangan pasukan NASA.
Pada 18 dan 19 Oktober lalu, rangkaian komunikasi NASA gagal menerima isyarat radio daripada prob berkenaan dalam dua percubaan komunikasi yang dijadualkan, dengan jarak masa 24 jam antara kedua dua percubaan itu.
Rangkaian Angkasa Lepas NASA mempunyai antena radio besar di tiga lokasi berbeza di seluruh dunia bagi membolehkan agensi itu berkomunikasi dengan kapal angkasa yang meneroka Bulan serta destinasi lebih jauh.
Ketika gangguan berlaku, Voyager 1 berada kira kira 16 bilion batu atau 24 bilion kilometer dari Bumi.
Bagaimanapun, isyaratnya kembali dikesan pada 20 Oktober, kira kira 48 jam selepas gangguan komunikasi bermula.
Komunikasi berjaya dipulihkan dan jurutera kemudian menghantar arahan bagi menyiasat punca kejadian tersebut.
NASA masih belum mengenal pasti punca sebenar gangguan itu. Namun, jurutera mendapati satu set pendorong Voyager 1 telah berhenti berfungsi sebelum sistem secara automatik mengaktifkan pendorong gantian.
Tindakan itu merupakan sebahagian daripada sistem perlindungan kerosakan yang terbina dalam prob berkenaan.
Apabila komputer dalaman mengesan kemungkinan masalah pada peralatan, sistem boleh beralih kepada perkakasan sokongan, menstabilkan keadaan kapal angkasa dan menghentikan sementara operasi biasa.
Langkah itu memberikan peluang kepada pasukan di Bumi untuk mengenal pasti masalah sebelum menentukan tindakan seterusnya.
Pengurus Misi Voyager di Makmal Pendorongan Jet NASA, Kareem Badaruddin berkata, kejadian itu merupakan kali pertama pasukan berkenaan melihat prob tersebut bertindak sedemikian.
Namun, pihaknya turut menyedari misi yang sudah hampir lima dekad itu memerlukan mereka bersedia menghadapi perkara tidak dijangka.
Voyager 1 Bakal Mencapai Jarak Sehari Cahaya
Sementara NASA berusaha menyelesaikan masalah teknikal, Voyager 1 terus bergerak semakin jauh dari Bumi.
Prob itu bergerak pada kelajuan kira kira 38,000 batu sejam atau 61,155 kilometer sejam ketika merentasi ruang antara bintang.
Pada 18 November, Voyager 1 dijangka berada sejauh 16.09 bilion batu atau 25.89 bilion kilometer dari Bumi.
Jarak tersebut bersamaan satu hari cahaya, iaitu jarak yang boleh dilalui cahaya dalam tempoh 24 jam.
Pencapaian itu cukup luar biasa kerana tiada objek buatan manusia lain pernah bergerak sejauh tersebut.
Pengurus Projek Voyager di Makmal Pendorongan Jet NASA, Suzanne Dodd memberikan gambaran mudah mengenai keadaan komunikasi dengan prob berkenaan.
Menurutnya, seseorang yang ingin menghantar mesej kepada Voyager 1 perlu menghantar arahan dan menunggu selama dua hari sebelum menerima maklum balas.
Ini kerana isyarat memerlukan masa sehari untuk sampai ke prob berkenaan, manakala isyarat balasan pula mengambil masa sehari lagi untuk kembali ke Bumi.
Walaupun pencapaian itu tidak mengubah keadaan fizikal Voyager 1 atau persekitarannya, ia menjadi peringatan tentang jarak luar biasa yang memisahkan Bumi dengan objek di angkasa.
Voyager 1 Membawa Rakaman Kehidupan Di Bumi
Untuk rekod, Voyager 1 dilancarkan oleh NASA pada 5 September 1977 bagi menjalankan misi penerokaan planet Musytari dan Zuhal sebelum meneruskan perjalanan ke ruang antara bintang.
Pada 25 Ogos 2012, prob itu mencipta sejarah apabila menjadi objek buatan manusia pertama yang memasuki ruang antara bintang selepas melintasi heliopaus, iaitu sempadan heliosfera yang dipengaruhi oleh Matahari.
Lebih menarik, Voyager 1 turut membawa Rekod Emas, iaitu sebuah cakera bersalut emas yang mengandungi pelbagai rakaman bunyi dari Bumi, muzik, ucapan dalam 55 bahasa serta 115 imej yang menggambarkan kehidupan dan kepelbagaian budaya manusia.
Kandungan tersebut dipilih sebagai gambaran tentang kehidupan di Bumi sekiranya suatu hari nanti rekod berkenaan ditemui oleh tamadun lain.
Selepas hampir lima dekad mengembara, Voyager 1 masih meneruskan misi saintifiknya walaupun berdepan kekurangan tenaga, peralatan yang semakin berusia dan masalah teknikal.
Perjalanan prob berkenaan menjadi bukti keupayaan manusia meneroka alam semesta serta memperluas pengetahuan mengenai persekitaran di luar Sistem Suria.


