Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pesawat Amfibia CL-415MP APMM Catat Rekod 10,000 Jam Penerbangan

AMFIBIA
Kredit: Facebook APMM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Pesawat amfibia Bombardier CL-415MP milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang mencatatkan 10,000 jam penerbangan, mencerminkan peranannya dalam menyokong operasi keselamatan dan penguatkuasaan maritim negara.

APMM menerusi hantaran di Facebook memaklumkan pesawat yang berkhidmat sejak 23 Jan 2009 dengan bernombor pendaftaran M71-01 (MSN 2068) itu, menerima pengiktirafan daripada De Havilland atas pencapaian berkenaan.

“Dikendalikan oleh Skuadron Amphibious, Stesen Udara Maritim Subang, pesawat ini menyokong misi pengawasan maritim, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), pemadaman kebakaran dari udara serta bantuan kemanusiaan.

“Sepanjang perkhidmatannya, CL-415MP terlibat dalam pelbagai operasi penting termasuk Operasi Daulat di Lahad Datu pada 2013, operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 dan kapal tangki Orkim Harmony, selain misi pemadaman kebakaran serta bantuan kemanusiaan ke Sumatera Selatan, Indonesia pada 2015,” menurut hantaran itu.

Agensi itu memaklumkan, pencapaian pesawat berkenaan turut menjadi antara sorotan Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), yang turut dihadiri Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini.

Dalam pada itu, perhimpunan bulanan berkenaan turut diserikan dengan pementasan teater “Demi Satu Nyawa”, yang menampilkan pelakon Adlin Aman Ramlie.

Menurut APMM, karya itu mengetengahkan peranan agensi berkenaan dalam operasi CARILAMAT di laut, dengan memberi tumpuan kepada keberanian, pengorbanan dan nilai kemanusiaan anggota penyelamat yang berdepan pelbagai cabaran ketika melaksanakan tugas.

“Pementasan ini juga turut memberikan ruang kepada masyarakat untuk memahami tanggungjawab Maritim Malaysia, serta menghargai harapan keluarga yang menanti kepulangan insan tersayang,” menurut hantaran itu.

Perhimpunan itu turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada Tuan Ade Mos atas keberanian dan tindakannya membantu menyelamatkan mangsa, dalam satu kejadian kemalangan di Sungai Linggi, Negeri Sembilan pada 4 Sept tahun lepas.

Dalam perkembangan berkaitan, APMM memaklumkan keupayaan operasi agensi itu terus diperkasakan menerusi penerimaan helikopter AW189 pertama pada 13 Ogos, penugasan KM BENDAHARA serta kemajuan pembinaan dua Kapal Misi Pengawasan Maritim (MPMS), yang kini mendahului jadual.

“MPMS 1 dijangka tiba di Malaysia pada awal 2027 dan dirancang menyertai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2027,” menurut hantaran itu.

APMM turut memaklumkan, bagi pembangunan infrastruktur dan aset, sebanyak RM1.088 bilion diperuntukkan bagi 16 projek pembangunan di bawah Rancangan Boleh Pinda 2 Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) untuk 2027.

-- BERNAMA

Intipati
  • Pesawat amfibia CL-415MP APMM menerima pengiktirafan De Havilland selepas 10,000 jam penerbangan.
  • Pesawat itu menyokong pengawasan maritim, CARILAMAT, pemadaman kebakaran udara dan bantuan kemanusiaan.
  • APMM turut memaklumkan kemajuan aset, termasuk helikopter AW189 dan dua MPMS sedang dibina.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan