Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

15 Cara Mudah Bantu Selamatkan Bumi, Tak Perlu Tunggu Hari Bumi

BUMI
Kredit: Unsplash

Bila bercakap tentang menjaga alam sekitar, ramai mungkin membayangkan perubahan besar seperti memasang panel solar, mengurangkan penggunaan kereta atau menyertai projek komuniti.

Hakikatnya, usaha menjaga bumi tidak semestinya memerlukan perubahan gaya hidup secara drastik.

Beberapa tabiat kecil yang dilakukan secara konsisten setiap hari juga boleh membantu mengurangkan penggunaan tenaga, pembaziran dan pencemaran.

Malah, ada antaranya yang cukup mudah untuk diamalkan tanpa perlu mengubah rutin harian secara keseluruhan.

Berikut 15 perkara mudah yang boleh dicuba:

1. Basuh Baju Menggunakan Air Sejuk

Nampak mudah, tetapi menukar tetapan mesin basuh kepada air sejuk boleh membantu mengurangkan penggunaan tenaga.

Ini kerana kira-kira 90 peratus penggunaan tenaga mesin basuh digunakan untuk memanaskan air.

Jadi, jika pakaian tidak memerlukan air panas, cuba gunakan tetapan air sejuk.

2. Jalan Kaki Atau Berbasikal Untuk Jarak Dekat

Jika destinasi tidak terlalu jauh, apa kata tinggalkan kereta dan pilih untuk berjalan kaki atau berbasikal?

Selain mengurangkan penggunaan bahan api dan pencemaran udara, satu perjalanan berjalan kaki atau berbasikal boleh mengelakkan kira-kira 0.4 hingga 0.5 kilogram karbon dioksida berbanding perjalanan menggunakan kereta.

Lebih menarik, anda juga tidak perlu pening mencari tempat letak kereta.

3. Sokong Perniagaan Tempatan

Membeli barangan daripada perniagaan tempatan bukan sahaja membantu ekonomi komuniti, malah produk berkenaan lazimnya tidak perlu melalui perjalanan sejauh barangan yang dibawa dari lokasi lebih jauh.

Secara tidak langsung, ia dapat membantu mengurangkan pelepasan daripada aktiviti pengangkutan.

4. Kutip Sampah Yang Dijumpai

Jika ternampak sampah ketika berjalan, tidak salah untuk mengambil dan membuangnya ke tempat yang betul.

Walaupun hanya sehelai atau sekeping sampah, tindakan kecil yang dilakukan secara konsisten oleh ramai orang boleh membantu menjadikan kawasan awam dan laluan air lebih bersih.

5. Pilih Tiket Dan Resit Digital

Jika mempunyai pilihan, gunakan tiket atau resit digital berbanding versi bercetak.

Cara ini dapat mengurangkan penggunaan kertas serta tenaga dan air yang diperlukan dalam proses penghasilannya.

6. Tukar Kepada Mentol LED

Mentol LED menggunakan kira-kira 75 hingga 80 peratus kurang tenaga berbanding mentol tradisional dan mempunyai jangka hayat yang lebih panjang.

Ini bukan sahaja membantu mengurangkan penggunaan elektrik, malah mengurangkan jumlah mentol yang berakhir di tapak pelupusan.

7. Jemur Pakaian Berbanding Menggunakan Mesin Pengering

Mesin pengering pakaian merupakan antara peralatan rumah yang menggunakan banyak tenaga.

Pengering pakaian boleh menggunakan sekitar 3,000 watt (3 kW) sejam.

Jadi, jika cuaca mengizinkan, cuba jemur pakaian secara semula jadi. Mengurangkan beberapa kali penggunaan mesin pengering dalam seminggu boleh membantu menjimatkan tenaga.

8. Pendekkan Masa Mandi

Mandi lama dengan air panas memang boleh membuatkan badan lebih relaks, tetapi penggunaan air juga meningkat.

Secara purata, pancuran mandi menggunakan sekitar 9 hingga 10 liter air seminit.

Jika masa mandi dipendekkan dua hingga tiga minit, anda boleh menjimatkan kira-kira 20 hingga 30 liter air setiap kali mandi.

9. Bawa Beg Guna Semula

Beg plastik mungkin hanya digunakan untuk beberapa minit, tetapi boleh kekal dalam alam sekitar selama ratusan tahun.

Jadi, biasakan menyimpan beg guna semula di dalam kereta, beg kerja atau tempat yang mudah dilihat supaya tidak terlupa membawanya ketika membeli-belah.

10. Bawa Botol Air Atau Cawan Guna Semula

Botol dan cawan sekali guna mungkin nampak kecil, tetapi jumlahnya boleh bertambah dengan cepat.

Menurut Earth Day Network, penggunaan botol guna semula boleh mengelakkan secara purata 156 botol plastik daripada digunakan oleh seseorang dalam tempoh setahun.

Jadi, bawa botol air atau cawan sendiri setiap kali keluar jika boleh.

11. Tukar Satu Hidangan Daging Kepada Hidangan Berasaskan Tumbuhan

Tidak perlu terus mengubah keseluruhan diet.

Sebagai permulaan, cuba gantikan satu hidangan berasaskan daging dengan hidangan berasaskan tumbuhan setiap minggu.

Pengurangan pengambilan daging walaupun dalam jumlah kecil boleh membantu mengurangkan jejak alam sekitar dari semasa ke semasa.

12. Cabut Palam Peralatan Yang Tidak Digunakan

Sesetengah peralatan masih menggunakan sedikit elektrik walaupun sudah dimatikan.

Penggunaan elektrik dalam keadaan siap sedia atau phantom energy ini boleh menyumbang kira-kira 5 hingga 10 peratus penggunaan elektrik isi rumah.

Jadi, jika peralatan tidak digunakan untuk tempoh tertentu, cabut palamnya jika selamat untuk berbuat demikian.

13. Beli Kurang, Tetapi Pilih Yang Lebih Berkualiti

Sebelum sesuatu produk sampai ke tangan pengguna, tenaga dan sumber telah digunakan untuk menghasilkan serta mengangkutnya.

Daripada membeli terlalu banyak barangan yang cepat rosak atau tidak diperlukan, pilih produk yang lebih tahan lama.

Cara ini boleh membantu mengurangkan pembaziran tanpa perlu mengubah gaya hidup secara drastik.

14. Elakkan Pembaziran Makanan

Pernah diminta menghabiskan makanan di dalam pinggan ketika kecil?

Tabiat itu sebenarnya boleh membantu mengelakkan pembaziran makanan, kerana kira-kira satu pertiga daripada makanan yang dihasilkan di seluruh dunia dibazirkan.

Jadi, beli mengikut keperluan, ambil makanan dalam jumlah yang mampu dihabiskan dan gunakan bahan makanan yang sudah dibeli.

15. Bersihkan Storan Telefon

Foto lama, video dan gambar pendua yang memenuhi telefon mungkin nampak seperti perkara kecil.

Namun, data yang disimpan sebenarnya berada di pelayan dalam pusat data yang memerlukan tenaga untuk beroperasi.

Pusat data dianggarkan menggunakan sekitar 1 hingga 2 peratus tenaga elektrik global, manakala penyimpanan satu terabait data boleh menggunakan antara 40 hingga 300 kWh tenaga setahun.

Jadi, sesekali luangkan masa untuk memadam foto pendua, video lama dan fail yang tidak lagi diperlukan.

Kesimpulannya, menjaga alam sekitar tidak semestinya bermula dengan perubahan besar.

Kadangkala, perkara semudah menutup suis, membawa botol sendiri, mengurangkan pembaziran makanan atau berjalan kaki ke kedai berhampiran juga boleh menjadi langkah kecil yang dilakukan secara konsisten.

Sumber:www.rd.com
Intipati
  • Artikel menyenaraikan 15 amalan harian mudah bagi membantu mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
  • Cadangan termasuk menjimatkan tenaga, mengurangkan plastik sekali guna dan memilih pengangkutan lebih mesra alam.
  • Penulis menekankan perubahan kecil secara konsisten boleh membantu mengurangkan pembaziran dan pencemaran.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan