Kemunculan seekor lipas di rumah tidak semestinya bermakna kediaman anda kotor.
Lipas boleh memasuki rumah yang sentiasa bersih sekiranya menemui keadaan yang sesuai untuk mendapatkan makanan, air dan tempat berlindung.
Serpihan makanan, makanan haiwan peliharaan, sampah serta sisa makanan boleh menarik perhatian serangga ini. Begitu juga dengan kawasan lembap akibat paip bocor, air bertakung dan tumpahan air.
Selain itu, ruang kecil di sekitar tingkap, pintu dan paip turut boleh menjadi laluan mudah untuk lipas masuk.
Jika mahu menjadikan rumah kurang menarik kepada lipas, berikut tujuh langkah mudah yang boleh diamalkan.
1. Pangkas Pokok Dan Tumbuhan Yang Terlalu Lebat
Tumbuhan yang terlalu lebat berhampiran rumah boleh menjadi tempat perlindungan lipas selain menyediakan laluan untuk serangga itu bergerak menuju ke kediaman.
Pangkas dahan pokok yang menjulur ke atas bumbung, pokok renek yang menyentuh dinding serta tumbuhan yang tumbuh terlalu dekat dengan asas rumah.
Jika boleh, kekalkan jarak kira-kira 45 sentimeter antara tumbuhan dengan rumah.
2. Jauhkan Sungkupan Daripada Asas Rumah
Sungkupan atau mulch boleh menyediakan persekitaran yang gelap dan lembap, iaitu keadaan yang disukai lipas.
Bahan organik yang mereput juga boleh menjadi sumber makanan kepada serangga berkenaan.
Oleh itu, tinggalkan sekurang-kurangnya 30 sentimeter kawasan tanah atau batu kerikil tanpa sungkupan antara sungkupan dengan asas rumah atau anjung.

3. Bersihkan Sisa Di Halaman Rumah
Jangan biarkan timbunan daun kering, kayu api, ranting, tumbuhan mati atau buah dan sayuran yang reput berselerak di halaman.
Bahan-bahan berkenaan bukan sahaja boleh menjadi sumber makanan, malah menyediakan tempat persembunyian untuk lipas.
Simpan kayu api jauh dari rumah dan bersihkan daun, ranting serta sisa organik secara berkala.
4. Bersihkan Tumpahan Makanan Dan Minuman
Jika gemar makan di luar rumah seperti di anjung atau halaman, pastikan kawasan berkenaan dibersihkan selepas selesai makan.
Serpihan makanan, minyak dan minuman yang tertumpah boleh menarik lipas.
Sapu kawasan di bawah perabot luar dan pasu tumbuhan, selain mengelap meja serta kusyen selepas digunakan.
Jika perlu, bilas lantai anjung atau patio untuk memastikan tiada sisa makanan yang tertinggal.
5. Jauhkan Tong Sampah Daripada Pintu
Letakkan tong sampah, tong kompos dan timbunan sisa halaman jauh daripada pintu, anjung serta laluan masuk ke rumah.
Jika mempunyai pemanggang, bersihkan selepas digunakan bagi menghilangkan sisa makanan dan minyak.
Tong sampah juga perlu dicuci secara berkala supaya tidak menjadi sumber makanan kepada lipas.
6. Gunakan Umpan Lipas Dengan Berhati-hati
Stesen umpan yang mengandungi bahan seperti asid borik atau racun serangga tertentu boleh digunakan untuk membantu mengurangkan populasi lipas di sekitar rumah.
Letakkan umpan berhampiran laluan yang berpotensi menjadi tempat lipas masuk atau di kawasan perimeter luar rumah mengikut arahan pada label.
Pastikan umpan diletakkan jauh daripada capaian kanak-kanak dan haiwan peliharaan, selain diganti mengikut tempoh yang disarankan.
7. Kurangkan Kelembapan Berlebihan
Lipas gemar kawasan yang lembap. Jadi, membaiki paip atau pili yang bocor boleh membantu menjadikan rumah kurang menarik kepada serangga berkenaan.
Elakkan air bertakung di sekitar anjung dan patio, kosongkan tempat mandi burung secara berkala serta pastikan saluran air hujan tidak tersumbat.
Jangan biarkan baldi, penyiram tanaman atau pasu kosong di luar kerana bekas berkenaan boleh menakung air hujan.
Jika Lipas Makin Banyak
Jika jumlah lipas terus meningkat walaupun langkah pencegahan sudah dilakukan, mungkin sudah tiba masanya mendapatkan bantuan profesional kawalan makhluk perosak.
Pakar boleh membantu mengenal pasti lokasi lipas masuk dan mencadangkan rawatan yang sesuai sebelum masalah tersebut menjadi lebih serius di dalam rumah.
Kuncinya mudah, kurangkan sumber makanan, air dan tempat persembunyian supaya rumah kurang menarik kepada lipas.

