Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Varian Baharu COVID-19 PJ.2.1 Dikesan Di Beberapa Negara, Sejauh Mana Bahayanya?

Varian Baharu Covid-19

Satu varian baharu COVID-19 yang dikenali sebagai PJ.2.1 telah dikenal pasti dan dilaporkan semakin merebak merentasi beberapa benua.

Iklan

Varian yang pertama kali dikesan di Kanada pada Mei 2026 itu kini berada dalam pemantauan rapi Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berikutan penularannya yang semakin meluas dari segi geografi.

Kemunculan varian ini menimbulkan persoalan seperti tahap bahayanya serta kemungkinan berlakunya satu lagi gelombang jangkitan COVID-19.

Apa itu varian PJ.2.1?

Satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Infection pada Oktober 2026 menyifatkan PJ.2.1 sebagai varian saltasi baharu (novel saltation variant).

Varian ini berkembang daripada varian terdahulu yang beredar sehingga Mei 2025 dan berasal daripada garis keturunan JN.1.

Menurut Pengarah Perubatan Dalaman di Jupiter Hospital, Thane, Dr Amit Saraf, PJ.2.1 mempunyai protein pepaku (spike protein) yang mengalami banyak mutasi serta keupayaan lebih tinggi untuk berinteraksi dengan reseptor ACE2, iaitu laluan yang digunakan virus untuk memasuki sel manusia.

“Eksperimen makmal turut menunjukkan kecekapan kemasukan ke dalam sel yang lebih tinggi dalam beberapa jenis sel tertentu,

“Menariknya, kajian itu tidak mendapati PJ.2.1 mempunyai keupayaan yang jauh lebih tinggi untuk mengelak antibodi yang dihasilkan melalui tindak balas vaksin yang disesuaikan dengan varian berkenaan.

“Perkara ini penting untuk dibezakan kerana varian yang merebak dengan lebih pantas tidak semestinya menyebabkan penyakit yang lebih teruk,” katanya kepada The Indian Express.

Bila dan di mana ia mula dikesan?

Sampel pertama yang disahkan bagi varian ini dikumpulkan pada 2 Mei 2026 di Ontario, Kanada.

Varian tersebut kemudiannya dikesan di beberapa kawasan lain di Kanada serta New York City pada 30 Jun sebelum ditemukan di beberapa negeri lain di Amerika Syarikat.

Selain itu, varian berkenaan turut dikesan di Australia, Singapura dan Sepanyol.

Gejala jangkitan

Menurut WAM, WHO memaklumkan bahawa gejala yang dikaitkan dengan varian baharu ini hampir menyerupai selesama biasa atau influenza.

Oleh itu, jangkitan tidak boleh dikenal pasti berdasarkan gejala semata-mata.

Ujian diagnostik merupakan kaedah paling tepat untuk membezakan jangkitan COVID-19 daripada virus lain.

Sejauh mana bahayanya?

Setakat ini, belum terdapat petunjuk bahawa PJ.2.1 menyebabkan penyakit yang lebih serius berbanding varian terdahulu.

Bagaimanapun, memandangkan gejalanya hampir menyerupai selesema biasa, masih terlalu awal untuk menentukan sejauh mana kesannya terhadap kesihatan manusia.

Kredit: WHO

Di peringkat global, kira-kira 780 juta kes COVID-19 dan tujuh juta kematian telah dilaporkan setakat ini, walaupun jumlah kes baharu telah menurun dengan ketara.

Imbas kembali, WHO telah mengklasifikasikan lima varian sebagai varian yang membimbangkan (Variants of Concern), iaitu Alpha, Beta, Gamma, Delta dan Omicron, yang diberikan nama berdasarkan abjad Greek.

Setiap varian tersebut mencetuskan gelombang jangkitan tersendiri dan menimbulkan kebimbangan berikutan peningkatan kes, kemasukan ke hospital serta kematian di seluruh dunia.

Sejak itu, virus berkenaan terus berkembang dengan menghasilkan pelbagai cabang varian baharu.

Walaupun penularan virus itu kini semakin reda, ancaman COVID-19 terhadap dunia masih belum berakhir sepenuhnya dan kemunculan varian baharu seperti PJ.2.1 menjadi peringatan bahawa virus berkenaan masih terus berkembang.

Intipati
  • Varian PJ.2.1 pertama kali dikesan di Ontario, Kanada pada Mei 2026.
  • WHO memantau varian itu susulan penularannya yang semakin meluas merentasi beberapa benua.
  • Setakat ini, tiada petunjuk PJ.2.1 menyebabkan penyakit lebih serius berbanding varian terdahulu.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan