Melihat anak berdepan kesukaran pastinya mengundang rasa bimbang dalam hati ibu bapa, apatah lagi apabila mereka tidak mampu membantu seperti yang diharapkan.
Dalam keadaan tertentu, ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan anak mereka tidak berasa keseorangan ketika melalui saat sukar.
Begitulah kisah seorang bapa yang sanggup melakukan sesuatu di luar jangkaan apabila anaknya berdepan masalah ketika menyertai satu acara larian.
Menerusi satu hantaran di Threads, pengguna dikenali sebagai Fahami berkongsi pengalaman menyertai acara larian 21KM 2026 Garmin Run Marathon Series bersama anaknya.
Dulu Angkat Masa Bayi, Kini Bapa Anak Dukung Sejauh 1.5KM

Bagaimanapun, perjalanan mereka menuju garisan penamat tidak berjalan seperti dirancang apabila anaknya, Qhairil Ashrof, tiba-tiba mengalami kecederaan ketika acara berlangsung.
Keadaan itu menyebabkan anaknya tidak dapat meneruskan larian seperti biasa, sekali gus berisiko menamatkan penyertaan dengan status Did Not Finish (DNF).
Namun, tidak sanggup melihat anaknya gagal menamatkan cabaran tersebut, Fahami mengambil keputusan mendukungnya sejauh 1.5 kilometer menuju garisan penamat.
“Alhamdulillah, 21KM 2026 Garmin Run Marathon Series. Satu kisah yang mungkin tak dapat aku lupakan.
“Tiba-tiba anak aku injured, tapi tak sanggup nak tengok dia DNF. Aku buat kerja gila angkat dia sambil berjalan sejauh 1.5km sebab COT dah dekat,” katanya.
Berkat usaha tersebut, kedua-duanya akhirnya berjaya menamatkan larian sejauh 21 kilometer itu meskipun terpaksa berdepan situasi tidak dijangka.
Bagi Fahami, pengalaman itu pastinya menjadi kenangan tersendiri apabila dia berpeluang mendukung anaknya sekali lagi, cuma kali ini bukan ketika anaknya masih kecil.
Dia turut berseloroh bahawa dahulu dia sering mendukung Qhairil Ashrof ketika kecil untuk membawanya berjalan-jalan, namun kini situasinya berbeza.
“Alhamdulillah, akhirnya kami sama-sama sampai ke garisan penamat. Dulu kecik-kecik dukung bawa dia jalan-jalan.
“Dah besar dukung dia bawa ke garisan penamat. Speedy recovery anakku, Qhairil Ashrof,” ujarnya.
Selain berkongsi pengalaman tersebut, Fahami turut memuat naik beberapa keping foto yang merakamkan detik dirinya mendukung anaknya sepanjang perjalanan menuju garisan penamat.
Foto berkenaan turut memperlihatkan kedua-duanya selepas berjaya menamatkan cabaran larian tersebut bersama-sama.
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian itu menerima pelbagai reaksi daripada warga maya, termasuk peserta lain yang turut menyertai acara larian berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya memuji kesungguhan Fahami mendukung anaknya sehingga ke garisan penamat, selain mengucapkan tahniah kepada kedua-duanya atas kejayaan menamatkan larian tersebut.

