Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tourism Malaysia Perkukuh Hubungan Pelancongan Dengan India Melalui Penyertaan Di IITM Pune 2026

Tourism Malaysia

Tourism Malaysia terus memperkukuh jalinan kerjasama dengan industri pelancongan India menerusi penyertaannya dalam India International Travel Mart (IITM) Pune 2026 yang berlangsung dari 26 hingga 28 November 2026 di Deccan College Ground, Yerwada, Pune, Maharashtra, bagi menyokong Visit Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027).

Pameran perdagangan pelancongan selama tiga hari ini merupakan platform penting bagi Tourism Malaysia untuk menjalinkan hubungan dengan ejen pelancongan, pengendali pelancongan, syarikat pengurusan destinasi (Destination Management Companies – DMC) serta pemain industri pelancongan di India.

Penyertaan ini bertujuan memperkukuh hubungan perniagaan sedia ada melalui sesi libat urus perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dan jaringan kerjasama, meneroka peluang kolaborasi baharu serta mempromosikan kepelbagaian produk dan tarikan pelancongan Malaysia kepada pasaran serantau yang semakin berkembang, termasuk Maharashtra.

Diketuai oleh Pengarah Tourism Malaysia Mumbai, Puan Haryanty Abu Bakar, delegasi Malaysia turut disertai oleh 10 syarikat DMC Malaysia, iaitu D'Mart Travel & Tours, The Essence of Asia Tours & Travels Sdn. Bhd., U2 Travel and Tours Sdn. Bhd., Dayasakti Travel & Tours Sdn. Bhd., One Holidays Above Sdn. Bhd., Asian Season Travel Sdn. Bhd., Mitways Transport and Tours Sdn. Bhd., Universal Holidays Travel & Tourism, Asian Overland Services Tours & Travel dan Oscar Holidays Sdn. Bhd.

Menurut Puan Haryanty Abu Bakar, IITM Pune 2026 menyediakan platform yang amat baik untuk kami memperkukuh hubungan dengan pemain industri pelancongan India, khususnya di Maharashtra yang terus menawarkan potensi besar kepada industri pelancongan Malaysia, sekali gus meningkatkan lagi kehadiran negara di pasaran penting ini.

“Adalah penting bagi rakan dagang pelancongan kami di India untuk sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai perubahan dasar visa Malaysia bagi warganegara India yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2027, bagi memastikan mereka menerima maklumat perjalanan yang tepat serta dapat melancong ke negara ini dengan lebih mudah dan lancar,” katanya.

India kekal sebagai salah satu pasaran sumber pelancong antarabangsa yang penting bagi Malaysia. Dari Januari hingga September 2026, Malaysia merekodkan ketibaan seramai 1.1 juta pelawat dari India.

Hubungan penerbangan antara kedua-dua negara, yang disokong oleh 184 penerbangan mingguan dengan kapasiti sebanyak 34,858 tempat duduk sepanjang September 2026, turut meningkatkan kemudahan akses antara kedua-dua destinasi.

Perkembangan ini membuka peluang untuk merangsang permintaan perjalanan yang lebih kukuh serta mempererat pertukaran rakyat antara kedua-dua negara.

Selain mercu tanda ikonik Kuala Lumpur, tarikan hiburan moden dan pengalaman membeli-belah yang meluas, Malaysia turut menawarkan pelbagai destinasi dan tarikan menarik kepada pelancong India sepanjang kempen VM2026–2027.

Pulau Pinang dan Melaka mengetengahkan keunikan warisan sejarah serta kepelbagaian gastronomi, manakala Langkawi, Sabah dan Sarawak menawarkan keindahan pulau tropika, kepelbagaian biodiversiti yang menakjubkan, hidupan liar serta pengembaraan berasaskan alam semula jadi.

Tourism Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan rakan dagang pelancongan India, syarikat penerbangan, pihak media dan pemain industri pelancongan melalui penyertaan dalam pameran perdagangan, misi jualan, pembentangan produk serta pelbagai inisiatif promosi strategik.

Usaha ini bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan serta memperluas pengaruh jenama “Malaysia, Truly Asia” dalam pasaran India.

Pelancong dari India yang memerlukan visa untuk memasuki Malaysia boleh merujuk portal rasmi eVISA Malaysia di https://malaysiavisa.imi.gov.my/.

Intipati
  • Tourism Malaysia menyertai IITM Pune 2026 untuk mengukuhkan hubungan pelancongan dengan India.
  • Delegasi Malaysia diketuai Haryanty Abu Bakar dan disertai 10 syarikat DMC tempatan.
  • Malaysia merekodkan 1.1 juta pelawat India dari Januari hingga September 2026.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan