Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

KPDN Selangor Perkukuh Pematuhan Harga Dan Ringankan Beban Kos Sara Hidup Rakyat Menerusi SHMMP Dan PJRM Deepavali 2026

Kos Sara Hidup

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri  Selangor terus memperkukuh komitmen dalam melindungi kepentingan pengguna  serta memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan menerusi  pelaksanaan Program Pemeriksaan Pematuhan ‘Walkabout’ Skim Harga Maksimum  Musim Perayaan (SHMMP) dan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM)  Deepavali Tahun 2026 Peringkat Negeri Selangor. 

Iklan

Program yang berlangsung di Pasaraya ST Rosyam, Jalan Kebun, Klang ini telah  disempurnakan oleh YB. Dato’ Haji Rizam bin Haji Ismail, Exco Kemajuan Desa,  Perpaduan, dan Pengguna Negeri Selangor. Turut hadir ialah Pengarah KPDN  Negeri Selangor, Tuan Muhamad Hanif bin Dato’ Asa’ari. 

Penganjuran program ini mencerminkan pendekatan bersepadu kerajaan dalam  menangani isu kos sara hidup melalui dua aspek yang saling melengkapi, iaitu  memastikan peniaga mematuhi ketetapan harga barangan di bawah SHMMP, di  samping menyediakan akses kepada barangan keperluan harian pada harga yang  lebih berpatutan menerusi PJRM. Kedua-dua inisiatif ini membuktikan bahawa  agenda perlindungan pengguna bukan sahaja tertumpu kepada aspek penguatkuasaan, malah turut merangkumi usaha berterusan membantu rakyat  mendapatkan barangan keperluan dengan lebih mudah dan menjimatkan. 

SHMMP Deepavali 2026 akan dilaksanakan selama 7 hari, iaitu 4 hari sebelum  perayaan, satu hari semasa hari perayaan, dan 2 hari selepas perayaan. Bagi  perayaan Deepavali tahun 2026, Kerajaan telah mengenal pasti dan mewartakan 11  jenis barangan keperluan di bawah skim ini, berbanding 9 jenis barangan pada tahun  2025. Penambahan ini bagi memastikan liputan barang kawalan yang lebih  menyeluruh melibatkan 2 jenis barangan baharu, iaitu santan dan ubi kentang  (China).

Barangan yang terlibat di bawah skim ini ialah:  

  1. Bawang merah besar;  

  2. Bawang merah kecil India;  

  3. Bawang merah kecil India (Ros);  

  4. Cili merah;  

  5. Daging kambing biri-biri bertulang import;  

  6. Kacang dal (Australia);  

  7. Kelapa biji (Harga maksimum di peringkat borong sahaja);  8. Kelapa parut (Harga maksimum di peringkat runcit sahaja);  9. Santan Kelapa (Harga maksimum di peringkat runcit sahaja);  10. Tomato; dan  

  8. Ubi kentang (China).  

Berdasarkan analisis perbandingan harga bagi SHMMP Deepavali 2025 dan 2026,  majoriti barangan kawalan yang disenaraikan menunjukkan trend harga yang stabil.  Bagi Semenanjung Malaysia, termasuk Negeri Selangor, sebanyak lima (5) barangan  mengalami penurunan harga maksimum yang ditetapkan berbanding tahun lalu, iaitu  kelapa biji, kelapa parut, bawang merah besar, bawang merah kecil India dan kacang dal (Australia). Manakala, tiga (3) barangan lagi mengekalkan harga maksimum yang  sama, iaitu tomato, cili merah dan bawang merah kecil India (Ros). 

Selain faktor-faktor seperti permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca dan  kadar upah, penentuan senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh  pelaksanaan dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada rakan strategik  seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi  Kerajaan dan pemain-pemain industri. KPDN juga sentiasa menjalinkan kerjasama  dengan KPKM bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi  sepanjang tempoh pelaksanaan skim. 

SHMMP Deepavali 2026 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan  Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat. Harga  maksimum yang telah ditetapkan di peringkat borong dan runcit boleh disemak melalui laman web rasmi KPDN di www.kpdn.gov.my. Selain itu, peniaga digalakkan  untuk menjual barangan pada harga yang lebih rendah daripada harga maksimum  sekiranya memperoleh harga bekalan yang lebih rendah.

Pegawai-pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor akan ditugaskan di lokasi-lokasi  strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan  keperluan perayaan sepanjang tempoh Skim bagi memastikan kepatuhan peniaga  kepada perundangan berkaitan. Pemeriksaan ini turut memberi penekanan terhadap  pematuhan undang-undang perdagangan, khususnya berkaitan penandaan harga  yang jelas, ketelusan urus niaga serta tanggungjawab peniaga dalam memastikan  pengguna mendapat maklumat yang tepat sebelum membuat pembelian. Aspek  pematuhan ini amat penting bagi mengelakkan sebarang tindakan mengambil  kesempatan terhadap peningkatan permintaan barangan menjelang musim  perayaan. 

Dalam hal ini, pelaksanaan SHMMP bukan bertujuan membebankan golongan  peniaga, sebaliknya merupakan mekanisme kawalan yang diwujudkan bagi  memastikan kestabilan harga barangan keperluan, melindungi kuasa beli pengguna  serta mewujudkan persekitaran perdagangan yang adil dan telus. 

Pendekatan pemeriksaan dan pemantauan ini juga selari dengan aspirasi  Pendekatan Penguatkuasaan Bestari (Smart Enforcement) KPDN yang  mengutamakan keseimbangan antara penguatkuasaan, advokasi dan pembudayaan  pematuhan dalam kalangan pemain industri. Peniaga bukan sahaja perlu memahami  tanggungjawab mereka terhadap undang-undang yang berkuat kuasa, malah perlu  membudayakan kawalan kendiri sebagai amalan berterusan dalam menjalankan  aktiviti perniagaan. 

Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan  ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.  Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan peraturan di bawah skim ini. Di bawah AKHAP 2011, mana-mana peniaga yang  melakukan kesalahan boleh dikenakan penalti seperti berikut: 

(i) Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum: 

(a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga 

 RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun

 atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga 

 RM50,000; dan 

(b) Syarikat; boleh didenda sehingga RM500,000 atau 

 dikompaun sehingga RM250,000; 

(ii) Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal: 

(a) individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga 

 RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000; dan 

(b) syarikat; boleh didenda sehingga RM20,000 atau 

 dikompaun sehingga RM10,000. 

Selain pelaksanaan SHMMP, KPDN Selangor turut melaksanakan inisiatif khusus  bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat sempena sambutan  Deepavali 2026 menerusi Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) Deepavali.  Sehubungan itu, KPDN Selangor telah menganjurkan sebanyak 155 siri jualan PJRM  di seluruh Negeri Selangor sepanjang tempoh 19 Oktober hingga 7 November 2026  bagi memberikan lebih banyak peluang kepada rakyat mendapatkan barangan  keperluan harian pada harga yang berpatutan, sekali gus membantu mengurangkan  perbelanjaan isi rumah dalam membuat persiapan menyambut perayaan. 

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, PJRM Deepavali yang akan berlangsung di  Pasaraya ST Rosyam, Jalan Kebun pada 5 dan 6 November 2026 turut menawarkan  sebanyak 92 jenis barangan keperluan harian pada harga istimewa bagi membantu  pengguna membuat persiapan menyambut perayaan. Orang ramai juga boleh  menyemak takwim pelaksanaan PJRM Deepavali 2026 melalui portal rasmi PJRM  atau aplikasi Info Jualan RAHMAH MADANI. 

Pelaksanaan jualan secara meluas di seluruh negeri ini mencerminkan usaha  proaktif KPDN Selangor dalam memastikan manfaat inisiatif kerajaan dapat dinikmati  oleh masyarakat di pelbagai kawasan. Pendekatan ini juga membuktikan bahawa  usaha menangani kos sara hidup tidak hanya tertumpu kepada kawalan harga,  malah turut dilaksanakan melalui penyediaan alternatif pembelian yang lebih menjimatkan dan mudah diakses oleh pengguna. 

Buat julung kalinya pada tahun 2026, Jualan Rahmah MADANI 24 Jam turut  dilaksanakan bermula jam 12.00 tengah hari, 5 November 2026 hingga jam 12.00  tengah hari, 6 November 2026. Inisiatif ini merupakan pendekatan istimewa bagi  memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan barangan keperluan harian  pada harga berpatutan dalam tempoh 24 jam, sekali gus membantu meringankan  kos sara hidup rakyat. 

Keberkesanan inisiatif ini turut dapat dilihat menerusi pencapaian pelaksanaan PJRM  di Negeri Selangor. Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, sebanyak 4,658 program PJRM telah direkodkan dengan jumlah capaian kehadiran melebihi tiga juta  pengunjung. Pencapaian ini mencerminkan sambutan yang amat menggalakkan  serta penerimaan positif masyarakat terhadap inisiatif penjimatan yang dilaksanakan  oleh kerajaan. 

Selain menawarkan barangan pada harga lebih berpatutan, pelaksanaan PJRM turut  menjadi platform untuk mendekatkan perkhidmatan kementerian kepada masyarakat  menerusi aktiviti advokasi dan pendidikan kepenggunaan. Usaha ini penting bagi  meningkatkan kesedaran pengguna mengenai hak-hak mereka, tanggungjawab  peniaga serta saluran yang tersedia untuk menyalurkan aduan dan mendapatkan  khidmat nasihat berkaitan isu kepenggunaan. 

Secara keseluruhannya, gabungan pelaksanaan SHMMP dan PJRM Deepavali 2026  memperlihatkan pendekatan kerajaan yang menyeluruh dalam menguruskan  cabaran kos sara hidup, khususnya ketika berhadapan dengan peningkatan  permintaan barangan sempena musim perayaan. 

Kerajaan tidak hanya memastikan harga barangan dikawal dan kepentingan  pengguna dilindungi melalui penguatkuasaan, malah pada masa yang sama  berusaha menyediakan alternatif pembelian yang lebih menjimatkan menerusi  pelaksanaan program jualan yang berteraskan keperluan rakyat. 

Justeru, kerjasama semua pihak termasuk pemain industri, peniaga, persatuan  perdagangan dan pengguna amat penting bagi memastikan kedua-dua inisiatif ini 

mencapai matlamat yang disasarkan. Peniaga perlu mengamalkan prinsip integriti dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan, manakala pengguna pula disaran  menjadi pengguna yang bijak dengan membuat perbandingan harga serta  mendapatkan maklumat sebelum melakukan pembelian. 

KPDN Selangor akan terus memperkukuh pelaksanaan penguatkuasaan,  pemantauan dan program intervensi kos sara hidup secara berterusan demi  memastikan ekosistem perdagangan domestik yang lebih telus, adil dan berintegriti.  Komitmen ini merupakan sebahagian daripada iltizam kerajaan untuk memastikan  kebajikan rakyat terus terbela serta manfaat dasar kerajaan dapat dinikmati oleh  seluruh masyarakat di Negeri Selangor. 

Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi  Negeri Selangor komited untuk memperkukuh sinergi dengan Kerajaan Persekutuan  melalui KPDN, dan berharap melalui pelaksanaan berfasa dan sokongan padu  daripada semua pihak, Program ini dijangka menjadi pemangkin transformasi  perdagangan negara yang lebih berintegriti, telus dan mesra pengguna. Ini sekali gus  dapat meningkatkan kesedaran peniaga tentang kepentingan mematuhi undang undang, menggalakkan persaingan sihat dalam perniagaan serta melindungi hak dan  kepentingan pengguna.