Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tiga Dekad SME Malaysia, Mainkan Peranan Penting Dalam Perkasa Komuniti PKS - Steven Sim

Aina Munirah
SME Malaysia Mainkan Peranan Penting
Kredit: Bernama

Tiga Dekad SME Malaysia, Mainkan Peranan Penting Dalam Perkasa Komuniti PKS - Steven Sim

Sepanjang tiga dekad, SME Malaysia telah memainkan peranan penting dalam memperkasakan komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Steven Sim Chee Keong memaklumkan mengenai perkara itu dalam ucapannya sempena meraikan ulang tahun ke-30 SME Malaysia, hari ini.

Menurutnya, 30 tahun bukanlah satu perjalanan yang mudah. Namun bagi SME Malaysia, usia itu melambangkan kematangan, keteguhan dan kejelasan hala tuju dalam memperjuangkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara.

Tambah beliau lagi, falsafah Confucius, "Shan shi er li" yang membawa maksud seseorang akan berdiri teguh apabila mencapai usia 30 tahun diambil sebagai simbolik perjalanan 30 tahun SME.

Beliau juga turut memberikan penghargaan kepada barisan pimpinan organisasi tersebut yang dikatakan mempunyai visi jelas terhadap masa depan ekonomi PKS negara.

Tambah beliau, hubungan antara kerajaan dan sektor swasta, khususnya komuniti PKS dilihat penting dalam memperkukuh ekonomi rakyat ketika dunia sedang berdepan dengan pelbagai cabaran global.

"Dunia hari ini sedang berhadapan dengan pelbagai krisis, termasuk peperangan, konflik ekonomi dan perang tarif yang memberi kesan besar kepada ekonomi global.

"Sebagai sebuah negara dengan ekonomi terbuka, Malaysia turut menerima tempias daripada perkembangan tersebut. Namun begitu, rakyat tidak seharusnya terlalu pesimis atau sinis terhadap keadaan semasa," tambah beliau.

Ujar beliau, falsafah “Tian shi, di li, ren he” daripada karya Sun Tzu Art of War turut dijadikan sandaran dalam melihat potensi Malaysia untuk terus maju.

"Tiga elemen utama yang diperlukan untuk mencapai kemenangan iaitu, keadaan yang sesuai, kedudukan geografi yang strategik dan kekuatan faktor manusia dan elemen dilihat dimiliki oleh Malaysia pada hari ini," tambah beliau.

Dari sudut kestabilan politik dan sosial pula, Malaysia dianggap masih berada dalam keadaan yang baik berbanding banyak negara lain.

Ini kerana pendirian negara yang berkecuali dan seimbang dalam hubungan antarabangsa membolehkan Malaysia mengekalkan hubungan baik dengan pelbagai kuasa dunia.

Selain itu, kedudukan geografi Malaysia juga dianggap strategik kerana berada di tengah-tengah tiga kawasan ekonomi utama dunia.

"Di sebelah timur ialah Greater Bay Area Delta Sungai Pearl yang menjadi pusat pembuatan dan modal, manakala di sebelah barat pula terletaknya San Francisco Bay Area yang terkenal sebagai pusat inovasi dan teknologi global.

"Dalam masa sama, rantau Teluk Bengal turut memainkan peranan penting sebagai laluan utama perdagangan dunia.

"Malaysia juga dilihat memiliki kelebihan besar melalui masyarakat majmuk yang berbilang kaum dan budaya," ucap beliau.

Kepelbagaian ini telah menjadikan satu kekuatan utama negara sekaligus menyebabkan ramai pelabur antarabangsa melihat rakyat Malaysia sebagai tenaga kerja yang mudah menyesuaikan diri, fasih dalam pelbagai bahasa dan mempunyai sensitiviti budaya yang tinggi.

Ucap beliau lagi, bagi memperkukuh sektor PKS, kerajaan melalui KUSKOP telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program PowerUp 10K dengan sasaran menggerakkan sekurang-kurangnya RM15 bilion ke dalam ekosistem PKS.

Dalam tempoh empat bulan sahaja, sebanyak RM4 bilion pembiayaan kos rendah telah diluluskan dan memberi manfaat kepada kira-kira 150,000 syarikat.

Selain meningkatkan peruntukan sektor PKS daripada RM50 bilion kepada RM60 bilion, kerajaan turut mengambil langkah mengurangkan beberapa cukai tidak langsung seperti SST ke atas sewaan bagi kategori tertentu, pengecualian SST untuk sektor pembinaan dan bahan input pertanian, serta penggantungan cukai terhadap barangan import semula bagi membantu syarikat yang berdepan gangguan rantaian bekalan.

Usaha memperkasakan PKS bukan sahaja tertumpu kepada bantuan kewangan, malah melibatkan latihan dan pembangunan kapasiti bagi memastikan usahawan tempatan mampu berdepan cabaran ekonomi global dengan lebih baik.

"Dalam suasana persaingan dunia yang semakin sengit, rakyat Malaysia diseru untuk mengetepikan perbezaan kaum, negeri dan latar belakang demi bergerak sebagai satu bangsa.

"Hanya dengan semangat kebersamaan dan kerjasama sebagai rakyat Malaysia, negara diyakini mampu terus bersaing dan mencapai kejayaan di pentas global," ucapnya.