Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

SME Corp Malaysia Rasmikan Ibu Pejabat Baharu Sempena Ulang Tahun Ke-30

SME Corp Malaysia
Gimik Perasmian Ibu Pejabat Baharu dan Sambutan Ulang Tahun ke-30 SME Corp. Malaysia

Penubuhan sesebuah organisasi bukan sekadar menandakan permulaan perjalanan, malah menjadi simbol kepada usaha dan sumbangan yang dibawa sepanjang tempoh operasinya.

Iklan

Selepas tiga dekad memainkan peranan dalam pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia, SME Corp. Malaysia kini melangkah ke fasa baharu menerusi perasmian ibu pejabatnya yang terletak di Menara AIA Cap Square.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Encik Steven Sim Chee Keong, sekali gus menjadikan sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan SME Corp. Malaysia lebih bermakna.

Untuk rekod, SME Corp. Malaysia ditubuhkan pada 2 Mei 1996 dengan nama Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Organisasi berkenaan kemudiannya dijenamakan semula sebagai SME Corp. Malaysia pada 2 Oktober 2009 sebelum diwartakan sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) pada November 2018, yang kini dikenali sebagai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Program Pelaburan PKS sasar gerakkan dana RM90 juta

Dalam majlis sama, Steven Sim turut melancarkan Program Pelaburan PKS yang menyasarkan sekurang-kurangnya RM90 juta bagi pelaburan dalam kalangan PKS tempatan yang mempunyai potensi tinggi.

Menerusi program tersebut, SME Corp. Malaysia bekerjasama dengan beberapa rakan pelaburan, termasuk Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), OSK Ventures International Berhad dan Hartamodal Sdn. Bhd.

Kerjasama itu bertujuan untuk memperluaskan pilihan pembiayaan kepada PKS berpotensi tinggi, sekali gus mengurangkan kebergantungan mereka terhadap pinjaman bank.

Perpindahan ibu pejabat jimat kos RM17 juta setahun

Menurut Steven Sim, perpindaan ke ibu pejabat baharu turut memberi manfaat dari sudut pengurusan kewangan apabila membolehkan SME Corp. Malaysia mengurangkan kos sewaan.

Langkah tersebut dijangka menghasilkan penjimatan sebanyak RM17 juta setahun serta setengah bilion ringgit dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Beliau turut menyifatkan langkah berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha perbelanjaan berhemah dan reformasi tatakelola yang baik di bawah Kerajaan MADANI.

Dalam pada itu, KUSKOP akan melaksanakan Pelan Tindakan SCALE 2027 yang merangkumi lima fokus strategik, iaitu penakrifan semula PKS (SME Redefinition), perlindungan aliran tunai (Cash Flow Protection), kecerdasan buatan untuk PMKS (AI for MSMEs), keperluan kandungan tempatan (Local Content Requirement) dan mempermudahkan pembiayaan PMKS (Easing MSME Pinancing).

YBhg. Dato' Teng Chang Khim, Pengerusi SME Corp. Malaysia pula menyatakan bahawa perpindahan ini melambangkan permulaan kepada fasa baharu yang selari dengan Tawaran Nilai (Value Proposition) SME Corp. Malaysia, iaitu 'Kami Memperkasa PKS untuk Berkembang dan Bersaing dengan Menghubungkan Inisiatif, Pengetahuan dan Peluang.'

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, YBrs. Encik Rizal bin Dato’ Nainy berkata, ibu pejabat baharu tersebut menempatkan kira-kira 260 kakitangan dengan menghimpunkan keseluruhan fungsi organisasi di bawah satu bumbung.

“Bangunan Ibu Pejabat baharu ini menempatkan kira-kira 260 kakitangan dan menghimpunkan semua fungsi SME Corp. Malaysia menerusi 12 Bahagian dan 3 Unit di bawah satu bumbung yang memperkukuhkan peranan selaku Agensi Penyelaras Pusat (CCA).

“Sebagai CCA, SME Corp. Malaysia memastikan dasar berkaitan PMKS diterjemahkan kepada tindakan, program saling melengkapi tanpa ketirisan dan pertindihan, serta sumber Kerajaan dimanfaatkan secara optimum,” ujarnya.

Bagi memudahkan akses kepada perkhidmatan, PMKS juga boleh mendapatkan khidmat nasihat perniagaan dan rujukan setempat menerusi Hab PMKS.

Selain itu, Laman PMKS (SPARQ) turut disediakan sebagai hab pembangunan perniagaan bersepadu yang menghubungkan PMKS dengan khidmat nasihat, latihan, jaringan strategik, akses pasaran dan peluang pertumbuhan melalui pendekatan fizikal serta digital.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha KUSKOP, YBhg. Dato' Sri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi SME Corp. Malaysia, YBhg. Dato' Teng Chang Khim serta Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, YBrs. Encik Rizal bin Dato’ Nainy.

Intipati
  • SME Corp. Malaysia merasmikan ibu pejabat baharu sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-30.
  • Program Pelaburan PKS menyasarkan sekurang-kurangnya RM90 juta untuk PKS tempatan berpotensi tinggi.
  • Perpindahan ibu pejabat dijangka menjimatkan RM17 juta setahun dalam kos sewaan organisasi.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan