Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tiada Perkembangan Embrio, 313 Telur Penyu Belimbing Mungkin Tidak Menetas - Perikanan Terengganu

313 Telur Penyu Belimbing Tidak Menetas
Kredit: Jabatan Perikanan Negeri Terengganu

Harapan untuk melihat 313 biji telur penyu belimbing menetas mungkin tidak kesampaian apabila Jabatan Perikanan Negeri Terengganu mengesahkan tiada perkembangan embrio daripada telur-telur berkenaan.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu berkata telur-telur berkenaan dieram dan ditempatkan di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Panjang.

“Agak mendukacitakan kerana selepas pemeriksaan secara teknikal oleh pegawai penyelidik mendapati kesemua 313 biji telur tiada perkembangan embrio dan besar kemungkinan tidak akan menetas seterusnya mengalami kemerosotan,” kata jabatan itu.

313 Telur Penyu Belimbing Mungkin Tidak Menetas

Dalam pada itu, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu turut berkata faktor utama telur berkenaan tidak disenyawakan dipercayai kerana tiada penyu jantan untuk melengkapkan proses persenyawaan.

Pemeriksaan telur penyu bagi pendaratan kali kelima yang dibuat di TCIC Rantau Abang semalam turut mendapati telur yang diperiksa tidak menunjukkan bukti perkembangan embrio.

Sementara itu, pemeriksaan telur penyu tersebut dijalankan oleh Ketua Cawangan Penyu, Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang (FRIRA), Mohamad Fathullah Roslan dengan bantuan kakitangan FRIRA, Muhaffiz Hamid dan Raimee Serbi.

“Walaupun sedikit hampa, seluruh warga perikanan mendoakan agar ada harapan untuk kita melihat hero kecil spesies penyu belimbing ini merangkak menuju ke pantai suatu hari nanti.

“Marilah kita bersama-sama menjaga ekosistem dan biodiversiti marin agar penyu belimbing terus mendarat dan melepaskan telur yang berkembang dengan baik seterusnya menetaskan anak-anak penyu di pantai-pantai negeri Terengganu pada masa akan datang, sekali gus menambah populasi penyu belimbing yang hampir pupus ini,” ujar jabatan itu.

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, En. Pang Anak Nyukang, Ketua Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan, En. Mohd Azrul bin Mahmod, Ketua Daerah Perikanan Dungun, En. Abd Halim bin Mat Noor serta kakitangan Cawangan Pengembangan Perikanan Negeri Terengganu.

Intipati
  • Jabatan Perikanan Terengganu mengesahkan 313 telur penyu belimbing tiada perkembangan embrio.
  • Telur itu dieram dan ditempatkan di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Panjang.
  • Ketiadaan penyu jantan dipercayai menjadi faktor utama telur berkenaan tidak disenyawakan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan