Selepas dua hari dikejarkan ke bahagian kecemasan Hospital Pantai akibat ‘Severe Thunderclap Brain Headache’, pengurusan NAZZ & CO Media, Rishi Ratnam hari ini berkongsi perkembangan terkini mengenai keadaan kesihatan pencipta kandungan itu.
Kesihatan Nazz Abdullah
Menurut hantaran di laman Facebook NAZZ & CO Media, Nazz kini telah dibenarkan oleh pihak doktor untuk meneruskan proses pemulihan dan berehat di rumah susulan beberapa siri pemeriksaan dan pemantauan rapi di Hospital Pantai Ampang.
Walau bagaimanapun, Rishi memaklumkan Nazz masih belum pulih sepenuhnya.
Punca sebenar serangan sakit kepala yang sangat kuat secara tiba-tiba (Severe Thunderclap Headache) masih “Puzzling”, meskipun pelbagai pemeriksaan termasuk CT scan, MRI serta penilaian beberapa doktor pakar telah dijalankan.
“Nazz masih memerlukan ubat-ubatan, pemantauan kesihatan dan rawatan susulan secara berkala di hospital.
“Atas nasihat doktor, beliau perlu berehat dan mengehadkan aktiviti buat sementara waktu bagi memberikan tumpuan kepada proses pemulihan,” maklum kenyataan itu.
Nazz Titip Pesanan
Dalam perkembangan ini, Nazz turut menitipkan pesanan peribadi kepada semua yang mengambil berat tentang keadaannya.
“Saya sendiri masih belum tahu apa sebenarnya yang berlaku kepada saya. Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya. Saya mungkin belum mampu membalas setiap mesej, tetapi saya amat menghargai segala doa dan ingatan kalian.” ucap Nazz.
Zahir Ucapan Terima Kasih & Penghargaan
Sementara itu, pihak NAZZ&CO Media turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas ribuan doa, mesej dan sokongan daripada keluarga, sahabat, rakan industri automotif, pelanggan, pihak media serta seluruh pengikut Nazz.
“Penghargaan istimewa juga ditujukan kepada warga Kampung Lukut, Kota Tinggi yang telah mengadakan solat hajat beramai-ramai anjuran Lorong Amanah Satu bagi mendoakan kesembuhan beliau.
“Tidak dilupakan juga pada orang ramai yang turut mengadakan solat hajat dan menitipkan doa.
“Segala keprihatinan, doa dan kasih sayang ini amat bermakna buat Nazz dan seluruh keluarganya.
“Operasi NAZZ&CO Media akan diteruskan oleh pasukan kami seperti biasa, dan sebarang perkembangan kesihatan yang telah disahkan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi apabila bersesuaian,” maklum Rishi.
