Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Terperangkap 26 Jam Dalam Gua Akibat Runtuhan Batu, Lelaki 31 Tahun Berjaya Diselamatkan

Lelaki 31 Tahun
Kredit: Facebok CNSAS

Seorang lelaki berusia 31 tahun berjaya diselamatkan dalam keadaan masih hidup selepas terperangkap selama 26 jam di dalam sebuah gua di Pulau Sardinia, Itali, akibat runtuhan batu yang menghalang laluan keluar, lapor The Guardian.

Lelaki 31 tahun berjaya diselamatkan

Luca Olmetto terperangkap kira-kira 10 meter di bawah tanah di Gua Gorroppeddu, kawasan pergunungan Urzulei di bahagian timur tengah Sardinia, sejak petang Ahad.

Ketika kejadian, mangsa sedang meneroka gua berkenaan bersama teman wanitanya yang berada beberapa meter di belakangnya.

Teman wanitanya terselamat daripada runtuhan batu yang menghalang sepenuhnya pintu masuk gua itu sebelum segera meminta bantuan pihak berkuasa.

Menurut laporan Rai News, pasukan penyelamat berjaya menemui Olmetto pada lewat petang Isnin selepas mengalihkan runtuhan batu dan tanah secara manual bagi membuka laluan sempit ke tempat mangsa terperangkap.

Mangsa dilaporkan sedar dan memberikan tindak balas sepanjang operasi menyelamat dijalankan.

Pasukan penyelamat kemudian berdepan tugas sukar untuk mengalihkan sejumlah besar serpihan batu dan tanah yang menutupi tubuh mangsa sebelum mengeluarkannya dari ruang sempit berkenaan.

Olmetto dibawa keluar ke permukaan sejurus selepas jam 6 petang waktu Eropah Tengah sebelum distabilkan oleh petugas perubatan dan diterbangkan menggunakan helikopter ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi menyelamat itu melibatkan kira-kira 48 anggota Kor Penyelamat Alpine dan Speleologi Sardinia serta 30 anggota bomba, selain petugas perlindungan awam.

Sebuah helikopter turut digunakan untuk membawa bahan dan peralatan yang diperlukan bagi memastikan kawasan operasi berada dalam keadaan selamat.

Dalam satu kenyataan di media sosial, majlis perbandaran Codrongianos, iaitu bandar asal Olmetto di barat laut Sardinia, menyifatkan tempoh 24 jam berkenaan dipenuhi kebimbangan oleh seluruh masyarakat setempat.

“Kami memantau keadaan dengan teliti dan berharap menerima berita baik tidak lama lagi.

“Ingatan kami bersama Luca dan keluarganya. Kami juga merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua anggota penyelamat yang bertungkus-lumus membawanya ke tempat selamat.

“Terus bertahan, Luca. Seluruh Codrongianos bersama kamu,” menurut kenyataan itu.

Gua Gorroppeddu merupakan rongga semula jadi yang sebahagian besarnya masih belum diterokai.

Intipati
  • Luca Olmetto terperangkap 26 jam di Gua Gorroppeddu selepas runtuhan batu menghalang laluan keluar.
  • Teman wanitanya terselamat daripada runtuhan itu dan segera meminta bantuan pihak berkuasa tempatan.
  • Olmetto dibawa keluar selepas jam 6 petang sebelum diterbangkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan