Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lima Pendaki Sesat Di Bukit Larut Berjaya Diselamatkan

Lima pendaki sesat
Kredit: Facebook Bomba Perak Official

Lima pendaki yang dilaporkan sesat ketika menjalankan aktiviti mendaki di Bukit Larut, di sini, berjaya ditemui dalam keadaan selamat malam tadi.

Lima pendaki sesat di Bukit Larut berjaya diselamatkan

Menerusi perkongsian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak di Facebook, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui NG999 pada 6.01 petang berhubung kejadian itu.

Ketua Operasi dimaklumkan pihak polis bahawa pemanggil berjaya dihubungi dan memberitahu terdapat empat rakannya yang turut sesat.

Pasukan penyelamat kemudian mendapatkan lokasi mangsa sebelum bergerak ke kawasan berkenaan dengan bantuan kenderaan Land Rover daripada pihak Pengurusan Bukit Larut.

Operasi pencarian dan menyelamat dilaksanakan menggunakan konsep LAST iaitu Locate, Access, Stabilise dan Treat.

Pada 9.42 malam, kesemua lima mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat.

Mangsa terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita berusia antara 26 hingga 29 tahun, yang mengalami keletihan serta kekejangan kaki namun tidak mengalami kecederaan serius.

Kesemua mangsa kemudian dibawa turun dari kawasan bukit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi tamat sepenuhnya pada 12.03 tengah malam, 17 Sept.

Operasi berkenaan melibatkan 15 anggota JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping serta BBP Kamunting.

Logistik yang digunakan ialah sebuah jentera CFRT, sebuah EMRS dan dua kenderaan utiliti Hilux.

Turut membantu operasi ialah lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua wakil Pengurusan Bukit Larut.

Intipati
  • Lima pendaki sesat di Bukit Larut ditemui selamat pada 9.42 malam.
  • Mangsa terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita berusia 26 hingga 29 tahun.
  • Operasi melibatkan JBPM, polis dan Pengurusan Bukit Larut, sebelum tamat tengah malam.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan