Tular di media sosial satu video memaparkan beberapa individu telah menyelamatkan seekor anak gajah yang hanyut di Sungai Teesta, India pada Jumaat lalu.
Memetik The Indian Express, sekumpulan nelayan bersama pegawai Jabatan Perhutanan bertungkus-lumus menyelamatkan anak gajah berusia empat hari itu yang telah dihanyutkan hampir empat kilometer.
Menurut sumber Jabatan Perhutanan, sekumpulan gajah dipercayai cuba menyeberangi Sungai Teesta kira-kira jam 8.30 pagi pada hari kejadian.
Bagaimanapun, anak gajah berkenaan terpisah daripada ibunya sebelum dihanyutkan arus sungai sejauh kira-kira empat kilometer dan ditemui berhampiran empangan Teesta.
Anak Gajah Empat Hari Berjaya Diselamatkan

“Anak gajah yang dipercayai baru berusia tiga atau empat hari itu terpisah daripada ibunya berhampiran Empangan Gajaldoba.
“Kami tidak pasti, namun kemungkinan kumpulan gajah berkenaan sedang cuba menyeberangi sungai.
“Ketika ibunya masih berada di bahagian hulu sungai di Gajaldoba, anak gajah itu pula dihanyutkan arus sejauh kira-kira empat kilometer di bahagian hilir,” kata Pegawau Bahagian Perhutanan (DFO) Baikanthapur, Mudit Kumar.
Tambahnya, anak gajah itu kemudian dikesan oleh sekumpulan nelayan tempatan yang segera bertindak selepas melihat haiwan berkenaan dihanyutkan arus.
Nelayan terbabit menaiki sebuah sampan kecil sebelum mengejar anak gajah itu dalam usaha menyelamatkanya.
Setelah berjaya menghampirinya, anak gajah berkenaan dikatakan sudah hampir lemas sebelum mengangkatnya naik ke dalam sampan.
Pihak Jabatan Perhutanan kemudian menerima maklumat daripada nelayan tempatan berkenaan seekor gajah sebelum bergegas ke lokasi untuk membantu menyelamatkan anak gajah tersebut.

“Kami mengambil anak gajah itu dan ia diperiksa oleh doktor haiwan. Syukurlah, tiada sebarang kecederaan dikesan.
“Kami perlu bertindak pantas kerana bimbang sentuhan manusia yang terlalu lama menyebabkan anak gajah itu tidak lagi diterima oleh ibunya.
“Akhirnya, kami berjaya menemukan semula ibu dna anak gajah berkenaan. Ibunya kemudian menyusukan anak tersebut dan menerimanya kembali ke dalam kumpulan.
“Kami sangat lega kerana anak gajah itu berjaya diselamatkan dan dapat kembali bersama ibunya,” tambah Kumar.
Bahagian hutan Baikanthapur terletak berhampiran Siliguri dan Gajaldoba, selain dikelilingi Sungai Mahananda serta Sungai Teesta.
Kawasan berkenaan turut menjadi habitat populasi gajah Asia yang besar, selain harimau bintang dan pelbagai spesies burung.

