Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Usahawan di seluruh negara yang layak kini boleh mengemukakan permohonan pembiayaan TEKUN Nasional secara dalam talian susulan pelancaran rasmi Sistem Permohonan TEKUN Online, sekali gus memudahkan proses permohonan tanpa perlu hadir ke pejabat cawangan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, sistem baharu itu membolehkan usahawan mendaftar akaun, melengkapkan maklumat peribadi dan perniagaan, memuat naik dokumen serta menghantar permohonan secara digital.

Menurut beliau, sistem berkenaan telah melalui fasa projek rintis bermula Julai 2026 di Kuala Lumpur sebelum diperluaskan ke beberapa negeri lain.
“Setakat ini, seramai 1,624 usahawan telah membuat permohonan secara dalam talian. Daripada jumlah itu, sebanyak 215 permohonan melibatkan pembiayaan bernilai RM6.6 juta telah diluluskan.
“Hari ini, selepas melalui fasa rintis, kita melancarkan Sistem Permohonan TEKUN Online secara rasmi untuk semua usahawan yang layak di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Steven Sim berkata, pelancaran sistem itu merupakan kali pertama permohonan pembiayaan TEKUN dilaksanakan secara dalam talian sepanjang hampir 30 tahun penubuhan agensi berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada jumlah pembiayaan yang disalurkan kepada usahawan, malah turut komited menambah baik penyampaian perkhidmatan bagi mengurangkan kerenah birokrasi.
Menurutnya, sepanjang tahun ini TEKUN Nasional telah menyalurkan lebih RM700 juta pembiayaan kepada hampir 31,000 usahawan di seluruh negara.
Katanya, daripada jumlah itu seramai 13,283 usahawan atau 43 peratus merupakan penerima pembiayaan kali pertama, membabitkan nilai hampir RM260 juta.
Dalam pada itu, Steven Sim berkata, antara penambahbaikan yang dilaksanakan ialah memendekkan tempoh proses permohonan pembiayaan di bawah RM100,000 kepada hanya tujuh hari berbanding kira-kira 30 hari sebelum ini.

“Daripada hampir 31,000 pembiayaan yang diluluskan tahun ini, sebanyak 74.5 peratus berjaya diluluskan dalam tempoh satu hingga lima hari, manakala hampir 20 peratus lagi dalam tempoh enam hingga 10 hari,” ujarnya.
Beliau berkata, di bawah pelan rekayasa kerenah birokrasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), TEKUN kini menyasarkan tempoh kelulusan serta penyaluran pembiayaan dapat dipendekkan lagi kepada lima hari.
Katanya, ketika Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia di Johor dan Melaka, TEKUN turut memperkenalkan kemudahan pra-kelulusan pembiayaan sehingga RM20,000 dalam tempoh 24 jam bagi membantu usahawan mikro memperoleh modal pusingan dengan lebih pantas.
“Bagi usahawan kecil, setiap hari yang dapat dijimatkan amat bermakna. Lebih cepat mereka mendapat akses kepada modal, lebih cepat mereka boleh membeli stok, mendapatkan peralatan dan mengembangkan perniagaan,” katanya.
Pada majlis sama, TEKUN Corporation Sdn. Bhd., anak syarikat TEKUN Nasional, turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Malaysia Berhad (MOCCIS).
Kerjasama itu melibatkan penerokaan peluang dalam sektor perladangan kelapa sawit, hospitaliti, penginapan resort, dewan bankuet, hartanah serta pelaburan jangka panjang.
Selain itu, TEKUN Corporation turut menandatangani kontrak perkhidmatan pengurusan dan pemulihan kredit bernilai hampir RM70 juta bersama MOCCIS.
Steven Sim berkata, kerjasama tersebut membuktikan syarikat di bawah agensi kerajaan dan gerakan koperasi mampu menggabungkan kepakaran bagi membina ekosistem perniagaan yang lebih mampan serta berdaya saing.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan